800 al-Quran wakaf diserah kepada Jabatan Kesihatan NS

A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 800 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) hari ini melalui program sumbangan wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Majlis penyerahan sumbangan wakaf al-Quran kepada JKNNS disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada Timbalan Pengarah JKNNS, Dr Muhammad Faid Abd Rashid di pejabatnya sementara di HTJS pula diserahkan kepada wakil Ketua Penolong Pengarah II HTJS, Norizah Mansor.

Sebanyak 200 al-Quran diwakafkan di HTJS manakala 600 al-Quran lagi diserahkan kepada JKNNS untuk diagihkan kepada Hospital Tampin, Jempol, Tuanku Ampuan Najihah dan klinik kesihatan sekitar negeri ini.

Dr Muhammad Faid ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Karangkraf di atas sumbangan yang bermakna itu.

Katanya, pemberian al-Quran itu diharap dapat meningkatkan lagi ketahanan dan kekuatan rohani petugas barisan hadapan untuk terus berjuang dalam menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

Program Wakaf Quran Mu’jam yang dilancarkan pada Jumaat lalu berjaya mengumpul sebanyak 13,838 naskhah al-Quran setakat hari ini untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu secara bersama termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

Menurutnya, melihat respon positif rakyat Malaysia, sasaran untuk mengumpul sebanyak 15,000 naskhah al-Quran mampu direalisasikan untuk kegunaan sepanjang Ramadan nanti.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour 'Masuk Syurga Sekeluarga' secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.

QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.iy/wakafquranhospital.

Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.

Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.