Bomba hiba lihat rumah sendiri marak terbakar

Mohd Alifudin menunjukkan sisa cebisan seragam celoreng yang terbakar.
Mohd Alifudin menunjukkan sisa cebisan seragam celoreng yang terbakar.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang anggota bomba hiba apabila tidak mampu menyelamatkan rumah sendiri dalam kebakaran yang turut menyebabkan lebih 10 seragam celorengnya hangus di Kampung Jambu Merah, Melor di sini pada Jumaat lalu.

Mangsa, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Alifudin Ahmad, 37, berkata, dia hanya sempat mengalihkan dua motosikal dan sebuah ATV yang diletakkan di hadapan rumah ketika api sedang marak.

“Selama ini saya bantu orang apabila rumah terbakar, kali ini rumah sendiri pula terbakar depan mata.

“Saya ralat sungguh sebab tak ada di rumah semasa api mula tercetus. Kalau tidak, mungkin ada yang sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Alifudin berdiri di dalam rumah terbakar pada Jumaat lalu.
Mohd Alifudin berdiri di dalam rumah terbakar pada Jumaat lalu.

Mohd Alifudin bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Tumpat serta turut menganggotai unit khas Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Kelantan, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Kubor dan Unit Pancaragam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan.

Menurutnya, sebelum kebakaran kira-kira jam 1.30 petang itu, dia keluar menunaikan solat Jumaat bersama dua anak lelakinya berusia 12 dan sembilan tahun sebelum pulang dan melihat kepulan asap tebal kira-kira 100 meter sebelum tiba ke rumah itu.

Katanya, api marak membakar rumah pusaka keluarga isterinya terbabit dengan pantas menyebabkan dia tidak dapat masuk untuk menyelamatkan harta di dalam kediaman berkenaan.

“Semua habis, dokumen penting, telefon, dompet dan baju kerja celoreng bomba yang saya pakai untuk operasi padam kebakaran pun hangus.

Artikel Berkaitan:

“Selainnya, simpanan duit raya anak-anak RM3,000, baju, buku sekolah semua habis musnah dengan anggaran rugi lebih RM300,000,” katanya.

Mohd Alifudin (kiri) melihat kertas-kertas dari buku sekolah anak-anaknya yang terbakar.
Mohd Alifudin (kiri) melihat kertas-kertas dari buku sekolah anak-anaknya yang terbakar.

Sementara itu, isterinya, Nik Noor Fatihah Nik Man, 37, yang berada di rumah ketika kejadian berkata, dia terdengar beberapa letupan kecil sebelum mendapati api bermula di bahagian kotak fius pada dinding rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru selesai memandikan anak bongsu mereka, berusia dua tahun, sebelum bergegas keluar menyelamatkan anak-anak sebaik menyedari kebakaran berlaku.

“Mulanya saya dengar bunyi letupan kecil beberapa kali sebelum nampak percikan api di bahagian fius utama rumah, saya tarik selamatkan dua anak.

“Apabila tengok api marak, saya teringat duit ibu dan masuk ke dalam bilik dan sempat selamatkan RM45,000 dari dalam laci sebelum keluar ikut pintu dapur,” katanya.

Uniform celoreng bomba yang hangus.
Uniform celoreng bomba yang hangus.

Nik Noor Fatihah berkata, wang tunai berkenaan milik ibunya, Mek Yah Deraman, 67, untuk menjelaskan bayaran pembelian sebidang tanah daripada saudara mereka.

Menurutnya, api merebak terlalu pantas sehingga dia tidak sempat menyelamatkan banyak barangan lain di dalam rumah berkenaan.

Mereka bagaimanapun reda dengan ujian itu dan menumpang di rumah sepupu buat sementara waktu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!