Gadis Palestin dibebaskan selepas ditahan 39 bulan

Lama Al-Bakri
A
A

HEBRON - TEBING BARAT. Pihak berkuasa Israel membebaskan gadis Palestin, Lama Al-Bakri selepas selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun dan dua bulan di penjara Damon.

Remaja berusia 18 tahun itu ditahan pada Disember 2015 selepas didakwa cuba melakukan serangan pisau berhampiran penempatan haram Yahudi, Kiryat Arba di selatan Tebing Barat yang diduduki.

Dalam kejadian itu, Al-Bakri ditembak tentera Israel dan mengalami kecederaan parah.

Pada tahun 2015, tentera Israel telah menahan ramai rakyat Palestin, kebanyakan mereka adalah kanak-kanak di bawah umur kerana didakwa memiliki pisau.

Penahanan itu dibuat susulam kebimbangan Israel mengenai serangan pisau di penempatan haram Yahudi yang semakin meningkat pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, saksi-saksi dalam beberapa kes mendakwa tentera Israel sengaja meletakkan pisau pada mayat rakyat Palestin atau mereka yang dituduh melakukan serangan tersebut, bagi membolehkan mereka melepaskan tembakan kononnya untuk mempertahankan diri.

Menurut kumpulan hak asasi tawanan Addameer, terdapat 5,500 tawanan Palestina yang ditahan di penjara Israel, di mana 230 orang adalah tahanan kanak-kanak.

Daripada jumlah tersebut, seramai 41 kanak-kanak adalah mereka yang berumur di bawah 16 tahun. - Agensi