Pelajar tahfiz bukan ‘cikai’, terbaik SPM dalam negara

KEBELAKANGAN ini, Merak Jalanan melihat isu pendidikan tahfiz kembali menjadi perhatian apabila timbul perbahasan mengenai laluan pelajar tahfiz ke institusi pengajian tinggi serta keperluan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hakikatnya, sistem aliran tahfiz kini sudah berkembang pesat apabila pelajar-pelajar mereka bukan sahaja menghafaz al-Quran 30 juzuk, malah lebih mengejutkan mereka mampu ‘tapau’ pelajar-pelajar lain dalam keputusan SPM.
Jika direnungkan kembali sejarah, sebagai contoh di negeri Kelantan pada awal 1990-an, Menteri Besarnya ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memulakan usaha memprofesionalkan aliran tahfiz.
Beliau menubuhkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat di Pulai Chondong, Machang dengan menggabungkan hafazan, agama dan akademik.
Selepas beberapa ketika sekolah yang menggunakan pendekatan sama iaitu gabungan hafazan, agama dan akademik mulai tumbuh bagaikan cendawan di seluruh negara.
Bahkan kini sistem pendidikan tahfiz ini turut diaplikasikan dalam Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Berasrama Penuh dan aliran lain seperti sains serta kemahiran.
Jadi, sebenarnya pelajar aliran tahfiz dan akademik ini sudah lama berada dalam sistem pendidikan negara, bahkan keupayaan mereka sangat luar biasa.
Bagaimanapun Merak Jalanan akui masih ada sekolah aliran tahfiz tradisional dan pondok tradisional persendirian di dalam negara ini.
Pada pandangan Merak Jalanan, mungkin sudah tiba masanya kerajaan meneliti dan mewajibkan aliran tahfiz dan pondok tradisional ini serta memasukkan sukatan pelajaran akademik yang asas kepada mereka.
Jadi pelajar-pelajar tradisional ini tidaklah perlu untuk menghabiskan masa setahun lagi untuk ambil SPM fast track.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
