Guna WhatsApp dapatkan bekalan dadah, penjawat awam antara dua ditahan

Antara rampasan dadah susulan penahanan dua lelaki termasuk penjawat awam di Serian pada Sabtu.
Antara rampasan dadah susulan penahanan dua lelaki termasuk penjawat awam di Serian pada Sabtu.
A
A
A

SERIAN - Dua lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sini pada Sabtu.

Tangkapan kira-kira jam 6.40 petang dilakukan Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Temudok Sri Aman semasa menjalankan Operasi Taring Batas/Awas selepas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua lelaki tempatan berusia 34 dan 39 tahun telah ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek menemui dadah disyaki syabu dengan berat kasar 64.55 gram, pil erimin 5 (7.72 gram) serta pil ekstasi (0.62 gram) dianggarkan bernilai RM3,777.50.

"Seorang suspek merupakan penjawat awam, manakala seorang lagi ialah penganggur.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mula terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tahun 2024," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah mendapatkan bekalan dadah melalui aplikasi WhatsApp dengan pembayaran dibuat secara dalam talian.

Jelasnya, bekalan dadah ditinggalkan oleh pembekal di sekitar Kuching sebelum diambil suspek untuk diedarkan di sekitar daerah Serian.

"Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 24 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!