Lelaki hantar bantuan makanan hilang selepas perahu karam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SIBU - Seorang penghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hilang dalam kejadian perahu karam di Ulu Julau, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Ismuni Umar berkata, lelaki tersebut, Masing Seliong, 35, dipercayai dibawa arus sungai selepas perahu yang dinaikinya bersama dua lelaki lain iaitu Apai Kiroh dan Laki Anchi karam dalam kejadian jam 5 petang.

“Perahu itu dikatakan karam berdekatan kawasan Nanga Senyuruk (di Ulu Julau)...dua mangsa (Apai dan Laki) berjaya menyelamatkan diri, pulang ke rumah panjang mereka di Sungai Ensiring (kemudian) mendapati Masing hilang seterusnya melaporkan kejadian itu (kepada pihak polis) hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ismuni berkata, sebelum kejadian itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikatakan menyertai rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di lapan rumah panjang di sepanjang sungai itu.

“Di rumah panjang terakhir, mereka telah diajak oleh penduduk untuk bermalam di sana namun menolak dan meneruskan perjalanan balik sebelum kejadian perahu karam itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk telah memulakan gerakan mencari mangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: