Guardiola tangguh sambutan Piala FA, fokus buru kejuaraan liga

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui tiada ruang untuk meraikan kejayaan menjulang Piala FA selepas pasukannya masih diburu misi lebih besar dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
City menewaskan Chelsea 1-0 pada aksi final di Wembley hasil jaringan tumit menarik pemain baharu, Antoine Semenyo pada minit ke-72, sekali gus menghadiahkan trofi kedua buat skuad kendalian Guardiola musim ini selepas menjuarai Piala Liga pada April lalu.
Bagaimanapun, Guardiola menegaskan fokus pasukannya kini terarah sepenuhnya kepada saingan liga ketika mereka masih berpeluang memintas Arsenal dalam perebutan gelaran EPL.
“Tiada sambutan, malah tiada walau satu bir. Kami terus pulang kerana masih ada tugas penting menanti. Selepas aksi menentang Aston Villa nanti, barulah kami akan meraikannya bersama pasukan wanita City.
“Kami tidak ada masa untuk berpesta. Chelsea memiliki tujuh hari untuk membuat persiapan final, tetapi kami hanya ada tiga hari. Perjalanan ke Wembley juga sangat memenatkan,” katanya.
Ketika ini Arsenal mengumpul 79 mata, dua mata di depan City yang masih memiliki baki dua perlawanan. City akan bertemu Bournemouth sebelum menutup kempen liga menentang Aston Villa, manakala Arsenal dijadual berdepan Burnley dan Crystal Palace.
Dalam masa sama, Guardiola turut terus dihimpit spekulasi mengenai masa depannya di Stadium Etihad dengan laporan media England menjangkakan beliau mungkin meninggalkan City pada penghujung musim ini.
Namun, pengendali dari Sepanyol itu memberikan jawapan penuh teka-teki apabila diajukan mengenai perkara berkenaan.
“Apabila api itu semakin pudar, mungkin ketika itu saya akan pulang. Saya seorang yang lucu.
“Musim ini saya rasa sangat baik, tetapi musim lalu adalah tempoh paling sukar atas pelbagai sebab,” katanya.
Kejayaan di Wembley menyaksikan Guardiola kini mengumpul 20 trofi sepanjang sedekad membimbing City termasuk tiga kejuaraan Perisai Komuniti.
Beliau turut menganggap keputusan pengadil memainkan peranan penting selepas City tewas dalam dua final Piala FA sebelum ini.
“Saya rasa kami bermain lebih baik dalam dua final terdahulu, tetapi kalah. Dalam perlawanan seperti ini, jurangnya sangat kecil dan keputusan tertentu boleh menentukan segala-galanya,” katanya.
Sementara itu, Semenyo mengakui dirinya masih menyesuaikan diri dengan tekanan memburu trofi selepas menyertai City dari Bournemouth pada Januari lalu.
“Saya pernah melakukan jaringan seperti itu ketika latihan dan kali ini semuanya menjadi.
“Saya belum pernah bersaing merebut trofi sebesar ini sebelum ini. Semua pengalaman ini masih baharu buat saya dan saya harap kami dapat melengkapkan musim dengan kejuaraan liga,” katanya.
Pengendali Chelsea, Calum McFarlane pula percaya pasukannya sepatutnya diberikan penalti selepas Jorrel Hato dijatuhkan oleh Abdukodir Khusanov pada babak kedua.
“Bagi saya ia satu kekasaran kerana Hato terlebih dahulu berada di depan lawan sebelum berlaku sentuhan.
“Namun saya tetap bangga dengan aksi pemain kerana kami mampu memberi tentangan sengit kepada antara pasukan terbaik dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
