Jumlah terkini korban insiden bot karam 16 orang

MANJUNG – Jumlah korban insiden bot karam yang dipercayai membawa pendatang Indonesia di perairan Pulau Pangkor kini meningkat kepada 16 orang setakat jam 12 tengah hari Sabtu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, penemuan terbaharu itu hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, pada Khamis antara jam 12 tengah hari hingga 7.45 malam, tiga mayat lelaki ditemukan terapung di sekitar perairan Tukun Terendak, Pangkor.
"Operasi diteruskan pada Jumaat dari jam 10 pagi hingga 7.30 malam dan berjaya menemukan enam lagi mayat di sekitar perairan Pulau Nipis, Pulau Trong, Pulau Talang dan Pulau Sembilan.
"Sehingga jam 12 tengah hari ini, jumlah keseluruhan mayat mangsa yang ditemukan adalah seramai 16 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua mayat yang ditemukan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam perkembangan berkaitan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung turut mengadakan pertemuan rasmi bersama wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia susulan tragedi berkenaan yang melibatkan warganegara negara itu.
Pertemuan di Bilik Mesyuarat IPD Manjung itu dipengerusikan Hasbullah dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Superintendan Mohd Rozaini Md Rodzi serta delegasi Kedutaan Besar Republik Indonesia yang diketuai Timbalan Kedutaan Indonesia, Danang Waskito.
Menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Manjung, sesi berkenaan bertujuan menyampaikan maklumat rasmi dan perkembangan terkini insiden termasuk status operasi SAR, proses pengecaman identiti mangsa, pengurusan dokumentasi serta urusan pengendalian mayat.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh kebajikan mangsa terselamat dan waris keluarga, di samping memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Indonesia khususnya dalam aspek keselamatan perairan dan pengurusan migran.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin warga Indonesia dilaporkan karam di perairan Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju beberapa destinasi di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

