Kekurangan telur akibat masalah logistik

Iskandar Halim (tengah) ketika membuat pemantauan barang-barang keperluan di sebuah pasar raya di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Iskandar Halim (tengah) ketika membuat pemantauan barang-barang keperluan di sebuah pasar raya di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesukaran mendapatkan telur di sesetengah kawasan adalah disebabkan masalah penghantaran bekalan yang lambat di samping permintaan yang tinggi ketika ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pengeluar telur memberi jaminan bahawa bekalan telur adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan dalam negara.

"Oleh kerana permintaan (telur) sangat tinggi, tempat yang agak jauh dari lokasi pengeluar bekalan agak lambat sampai.

"Tetapi pengeluar memberi jaminan bekalan mencukupi dan melebihi permintaan, malah lebihannya boleh dieksport pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas hingga 6 April, sebanyak 15,959 pemeriksaan telah dijalankan terhadap peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara.

Katanya, KPDNHEP menerima sebanyak 1,466 aduan berkaitan bekalan dan harga barangan keperluan dengan kebanyakannya berkaitan berkaitan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

"Berdasarkan siasatan terhadap aduan itu, KPDNHEP mengeluarkan sebanyak 65 notis terhadap peniaga kerana mencatut di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Iskandar Halim menasihatkan pengguna yang ingin membuat aduan supaya memberikan maklumat terperinci bagi memudahkan siasatan KPDNHEP.

"Ada yang mengadu kepada kita harga telur mahal, tetapi tidak beritahu berapa harga, di mana kedai itu dan sebagainya. Jadi sukar untuk kita siasat," katanya.

Iskandar Halim berkata aduan boleh disalurkan melalui portal rasmi KPDNHEP atau menghubungi bilik gerakan kementerian di talian 03-8882 6245 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

"Boleh juga e-mel aduan ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN atau melalui aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNHEP," katanya. - Bernama