Pelayaran Global Sumud Flotilla semakin getir

SEPANG - Pelayaran 54 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang telah memasuki fasa akhir dijangka akan berhadapan dengan pintasan oleh pihak rejim Zionis dalam tempoh beberapa jam akan datang.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi yang turut disertai delegasi Malaysia itu kini berada di Zon Kuning 2 iaitu sekitar 340 batu nautika dari pantai Gaza.
"Dalam tempoh beberapa jam akan datang, flotila dijangka memasuki zon berisiko tinggi pada waktu malam yang mana potensi berlakunya pintasan oleh pihak rejim adalah sangat tinggi," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan SNCC di sini pada Jumaat.
Tegas beliau, pintasan yang mungkin dilakukan oleh pihak rejim itu bertujuan untuk menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang sah di bawah klausa Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
"Klausa UNCLOS membenarkan apa jua bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan bergolak tanpa sekatan.
"Pintasan ini pastinya menjadi bukti kukuh salah laku rejim Zionis sekali lagi yang akan diheret ke muka pengadilan pada tahap tertinggi dengan kerjasama rangkaian peguam antarabangsa," katanya lagi.

Sani Araby meminta rakyat Malaysia mempergiat usaha menyebarkan fakta dan sejarah sahih berkaitan Palestin serta terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat demi keselamatan delegasi misi berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga kini rejim Zionis Israel melaksanakan penjarahan haram selepas 78 tahun peristiwa Nakba yang menyaksikan rakyat Palestin kehilangan tanah air, hak dan kehidupan mereka.
"Gaza yang kononnya dalam fasa gencatan senjata sebenarnya sedang dialihkan perhatian atau dimanipulasikan sehingga pengalihan blok batu, garisan kuning atau pencabulan pengambilalihan tanah berlaku secara besar-besaran di bumi Gaza.
"Kenyataan angkuh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam yang mengumumkan bahawa rejim Israel menguasai 60 peratus wilayah Gaza serta menyasarkan penguasaan penuh ke atas keseluruhan Gaza membuktikan agenda penjajahan dan peluasan sedang dilakukan," ujarnya.
Katanya, 950 hari berlalu sejak bermulanya perang pada 7 Oktober 2023, lebih 100,000 rakyat Palestin syahid manakala sejak peristiwa Nakba, dianggarkan lebih 136,000 rakyat terbunuh akibat penjajahan, peperangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
