Covid-19: Kes pulih melebihi kes positif baharu

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Buat pertama kalinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes pulih dan dibenarkan pulang melebihi kes baharu positif harian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 166 pesakit Covid-19 telah pulih dan discaj hari ini berbanding kes baharu 156 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 1,487 kes dan 4,119 kes bagi keseluruhan positif," katanya.

Menurutnya, seramai 76 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan dua kes kematian termasuk salah satunya warga asing.

"Kes kematian ke-64 merupakan pesakit Covid-19 ke-2903 yang merupakan wanita tempatan berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis serta darah tinggi.

Dia telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia jam 3.20 petang semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Masih ada yang berkunjung ke rumah saudara-mara'

Menurutnya, lelaki Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis menjadi korban Covid-19 yang kedua melibatkan warga asing di negara ini.

"Dia mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac.

"Dia disahkan meninggal dunia jam 9.30 pagi tadi," katanya.