GST jalan keluar krisis hasil negara

Pemansuhan GST pada tahun 2018 telah mewujudkan kelemahan besar kepada asas percukaian negara. Gambar kecil: Jayum Anak Jawan
Pemansuhan GST pada tahun 2018 telah mewujudkan kelemahan besar kepada asas percukaian negara. Gambar kecil: Jayum Anak Jawan
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali mengakui bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi global yang semakin kompleks, termasuk peningkatan kos, gangguan rantaian bekalan dan cabaran fiskal domestik.

Pengakuan ini memperlihatkan bahawa kerajaan Persekutuan kini berada dalam keadaan yang semakin tertekan dari sudut hasil dan kapasiti fiskal. Dalam keadaan seperti ini, persoalan besar yang perlu dijawab ialah sejauh mana kerajaan mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan reformasi percukaian baharu.

Hakikatnya, Malaysia tidak akan mampu memperkukuh federalisme fiskal serta membantu negeri-negeri secara lebih adil dan memenuhi tuntutan kewangan wilayah jika hasil Kerajaan Persekutuan sendiri terus berada dalam keadaan sempit dan terbatas.

Sebab itu cadangan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau walau apa juga nama yang lebih selesa digunakan kerajaan dikembalikan semula perlu dikaji secara serius sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal nasional.

Ironinya, cadangan ini bukan lagi datang daripada satu blok politik tertentu sahaja. Hari ini, semakin ramai tokoh politik, ahli ekonomi dan pakar fiskal daripada pelbagai latar belakang mula mengakui bahawa pemansuhan GST pada tahun 2018 telah mewujudkan kelemahan besar kepada asas percukaian negara.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, misalnya secara terbuka menyeru kerajaan mengembalikan semula GST ketika program RIMBUN 2.0 anjuran Pemuda UMNO Malaysia pada 9 Mei lalu.

Beliau berkata: “Saya merayu kepada Perdana Menteri, kalau satu benda yang Datuk Seri Anwar boleh buat ialah kembalikan GST. Tak payah panggil GST, panggil apa pun boleh... panggil ‘X tax’ ke? Fair and Equitable Tax ke.... MADANI tax pun tak apa... sebab apa? Pendapatan kita tidak cukup.”

Kenyataan Khairy Jamaluddin ini sangat signifikan kerana beliau sendiri pernah berada dalam Kabinet kerajaan terdahulu dan memahami secara langsung realiti fiskal negara. Hujah beliau bahawa “pendapatan kita tidak cukup” sebenarnya menggambarkan masalah asas Malaysia hari ini, iaitu kerajaan mempunyai komitmen perbelanjaan yang semakin besar tetapi sumber hasil yang tidak berkembang secara seimbang.

Perkara sama turut ditegaskan oleh Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong, yang berulang kali menggesa kerajaan mempertimbangkan semula GST bagi memperkukuh pendapatan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan supaya GST versi baharu dilaksanakan dengan kadar lebih rendah, mekanisme pulangan semula kepada rakyat dan senarai pengecualian yang lebih baik bagi mengurangkan kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.

Ini menunjukkan bahawa perbahasan hari ini bukan lagi soal mahu GST lama dikembalikan bulat-bulat, tetapi bagaimana Malaysia boleh membina sistem percukaian penggunaan yang lebih cekap, lebih telus dan lebih mampan.

Malah, beberapa pakar ekonomi terkenal negara juga telah memberikan sokongan akademik yang kuat terhadap keperluan reformasi percukaian ini.

Ada tokoh yang menyatakan bahawa pelbagai cadangan cukai baharu yang digabungkan sekali pun masih sukar menandingi potensi hasil yang boleh dijana melalui GST.

Tokoh lain pula menegaskan melaksanakan GST tidak sukar kerana infrastruktur pentadbiran GST pernah wujud, sistem audit pernah dibangunkan dan pengalaman pelaksanaan juga telah dimiliki oleh sektor perniagaan serta institusi percukaian negara.

Malah, tokoh ekonomi veteran negara, Tan Sri Ramon Navaratnam, menyifatkan pemansuhan GST sebagai “satu kesilapan besar dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan kepada ekonomi negara.”

Beliau menegaskan bahawa selepas GST dimansuhkan, Malaysia kehilangan pendapatan besar sehingga negara terpaksa meningkatkan pinjaman untuk menampung operasi dan perbelanjaan kerajaan.

Menurut beliau lagi, “Apabila sesebuah negara perlu meminjam untuk perbelanjaan dan operasi bermakna ekonomi negara tidak stabil.”

Di sinilah kaitannya dengan persoalan federalisme fiskal menjadi sangat penting. Mutakhir ini, beberapa institusi diraja dan negeri mula membangkitkan isu keadilan hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mempersoalkan layanan terhadap hasil negeri Pahang. Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula membangkitkan soal pulangan hasil cukai kepada Johor.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah juga menyentuh keperluan pampasan lebih adil terhadap pengorbanan negeri menjaga kawasan tadahan air dan jelapang padi negara.

Namun realitinya, selagi hasil Kerajaan Persekutuan sendiri terus lemah dan sempit, kemampuan Putrajaya untuk melaksanakan reformasi agihan hasil secara besar-besaran akan terus terbatas. Dalam erti kata lain, reformasi federalisme fiskal tidak akan berjaya tanpa reformasi hasil Persekutuan.

Malaysia hari ini berhadapan dengan situasi yang agak kritikal. Negeri-negeri menuntut lebih banyak autonomi fiskal dan agihan hasil, tetapi pada masa sama Kerajaan Persekutuan sendiri sedang bergelut dengan tekanan subsidi, hutang negara, peningkatan kos global, komitmen kebajikan, pembangunan infrastruktur dan keperluan memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Sebab itu pengembalian GST dilihat penting sebagai instrumen memperkukuh daya tahan fiskal negara secara keseluruhan. Jika dilaksanakan dengan lebih baik, lebih progresif dan lebih bersasar, sistem percukaian ini boleh membantu meningkatkan hasil negara, mengurangkan kebergantungan kepada hutang, memperkukuh keyakinan pelabur, memperluas asas cukai dan akhirnya memberi ruang lebih besar kepada kerajaan pusat untuk membantu negeri-negeri secara lebih adil.

Apa yang penting ialah keberanian politik dan kejujuran pentadbiran. GST lama memang mempunyai kelemahan tertentu dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Namun penyelesaiannya bukan menolak terus konsep tersebut, tetapi memperbaiki kelemahan pelaksanaan.

Kadar cukai boleh lebih rendah, barangan asas boleh terus dikecualikan, bantuan tunai boleh dipertingkat, sistem refund boleh diperbaiki dan mekanisme perlindungan golongan B40 boleh diperkukuh.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia memerlukan sumber hasil yang lebih stabil, luas dan mampan. Tanpa reformasi fiskal yang serius, kerajaan akan terus bergantung kepada hutang, subsidi tidak bersasar dan ruang fiskal yang semakin mengecil.

Persoalannya sekarang ialah apakah pemimpin Kerajaan MADANI mempunyai keberanian untuk membina semula asas kewangan negara begini?

*Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan FASc ialah Profesor Adjung di Institut Pengajian Borneo, UNIMAS dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!