[VIDEO] 'Kalau Anggun boleh duduk sendiri, saya dah bersyukur'

MELAKA - Setiap hari, doa seorang ibu tidak pernah putus. Dalam keletihan yang dipendam sendirian, Nur Asyikin Jaafar hanya mengharapkan anak kecilnya mampu duduk sendiri suatu hari nanti.
Bagi ibu tunggal berusia 28 tahun itu, kehidupan berubah sepenuhnya apabila puteri bongsunya, Anggun Cempaka Muhd Sulaiman Adam disahkan menghidap hidrosefalus ketika masih bayi.
Penyakit yang menyebabkan pengumpulan cecair di rongga otak itu bukan sahaja membuatkan saiz kepala Anggun membesar secara luar biasa, malah meragut kehidupan normal yang pernah dimiliki Nur Asyikin.
Dia kehilangan pekerjaan sebagai kerani demi menjaga anak kesayangannya yang kini berusia dua tahun itu sepenuh masa.

“Dalam sebulan lebih 10 hari saya ambil cuti sebab nak bawa dia ke hospital. Sampai satu tahap saya sedar keadaan ini tak akan selesai dalam masa singkat.
“Akhirnya saya buat keputusan berhenti kerja,” katanya perlahan.
Selain Anggun, Nur Asyikin turut membesarkan seorang lagi anak perempuan, Amanda Suraya yang kini berusia empat tahun.
Segalanya bermula ketika kandungannya mencecah usia 35 minggu. Pemeriksaan rutin yang disangka biasa bertukar menjadi detik yang mengubah hidupnya buat selama-lamanya.

Doktor mendapati saiz kepala bayi dalam kandungannya terlalu besar, seakan-akan berusia 38 minggu.
“Saya ingat bayi besar seperti biasa, tapi doktor cakap bayi saya tak sihat dan perlu dibedah segera untuk selamatkan dia,” katanya sambil menahan sebak.
Selepas dilahirkan, Anggun kelihatan seperti bayi normal lain. Dia sempat dihantar ke nurseri ketika berusia sebulan dan boleh minum susu seperti biasa.
Namun kebahagiaan itu tidak lama. Pemeriksaan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) kemudian menunjukkan bahagian kiri kepala Anggun dipenuhi cecair.
Lebih memilukan, ukuran lilit kepalanya meningkat antara satu hingga dua sentimeter (sm) setiap hari.
Sejak itu, Anggun telah menjalani lima pembedahan VP Shunt bagi membuang lebihan cecair di kepalanya.

Bagi seorang ibu, melihat anak kecil berulang kali ditolak masuk ke dewan bedah bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung.
Namun Nur Asyikin tetap kuat.
“Alhamdulillah sekarang dia dah boleh tengok, beri respons dan tangan kiri dia pun dah boleh bergerak,” katanya.
Bantuan kewangan
Nur Asyikin kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas Anggun menerima kad OKU.
Bekas suaminya pula membantu dengan nafkah RM500 sebulan untuk dua anak mereka, namun jumlah itu masih belum cukup menampung kos kehidupan termasuk komitmen rumah dan kereta.
Demi meneruskan hidup, Nur Asyikin cuba mencari rezeki dengan membuat jualan affiliate sebelum mengambil upah melipat baju sejak Disember lalu.
“Tempahan memang tak banyak. Sebulan kadang-kadang cuma satu saja. Lepas saya kongsi di Threads, ada yang mula hubungi. Harapnya sambutan akan bertambah,” katanya.
Katanya lagi, dia berhasrat mencari pekerjaan tetap, namun keadaan Anggun yang kini seberat 11.7 kilogram dengan ukuran lilit kepala mencecah 59sm memerlukan penjagaan penuh.
“Doa saya setiap hari supaya dia boleh duduk sendiri. Kalau dia boleh duduk pun saya dah bersyukur.
“Kalau satu hari nanti dia boleh urus diri sendiri macam pergi tandas, saya boleh keluar bekerja walaupun gaji RM1,500,” katanya.
Katanya, jika wang tidak mencukupi, dia hanya mampu meminta bantuan adik-beradik.
“Saya tak paksa bekas suami sebab dia pun ada keluarga sendiri,” ujarnya.
Kisah keluarga itu mendapat perhatian Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang tampil menghulurkan bantuan kewangan.

Menurut wakilnya, Dr Khor Ying Kim, perkembangan Anggun menunjukkan tanda positif dan pihaknya komited membantu keluarga tersebut mendapatkan bantuan lanjut termasuk rawatan pakar serta dana sekiranya diperlukan pada masa depan.
“Anggun menunjukkan perkembangan yang positif dan sebagai permulaan PSBM memberikan sedikit bantuan kewangan untuk meringankan beban keluarga ini.
“Selain itu, kita akan melihat bentuk bantuan lain yang diperlukan pada masa akan datang termasuk rujukan pakar perubatan dan membantu mencari dana pembiayaan sekiranya memerlukan pembedahan besar bagi merawat penyakit dihidapi Anggun,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Anggun boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 1699 6313 1470 atas nama Nur Asyikin Jaafar atau menghubunginya di talian 019-6528674.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

