Program Ekonomi MADANI ATM perkukuh peranan BAKAT

Mohamed Khaled (kiri) melihat demonstrasi cara pengambilan madu kelulut di bawah projek ekonomi MADANI di Kem Batu Tiga, Kluang.
Mohamed Khaled (kiri) melihat demonstrasi cara pengambilan madu kelulut di bawah projek ekonomi MADANI di Kem Batu Tiga, Kluang.
A
A
A

KLUANG – Projek di bawah Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaksanakan di kem-kem tentera seluruh negara berjaya meningkatkan kesejahteraan keluarga warga ATM, di samping membantu mendepani cabaran krisis rantaian bekalan global serta tekanan kos sara hidup.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya golongan isteri melalui Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sebagai kumpulan sasaran utama.

“Kita tidak mahu anggota tentera, khususnya suri rumah dalam kalangan keluarga tentera, merasa terpinggir atau tidak mendapat manfaat daripada pelaksanaan Ekonomi MADANI.

“Hakikatnya, masyarakat di luar sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan kos sara hidup. Keluarga tentera juga turut berhadapan peningkatan kos kehidupan dan cabaran ekonomi harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI ATM di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga, di sini pada Selasa.

Peserta BAKAT bergambar di hadapan projek ternakan kelulut di Kem Batu Tiga, Kluang.
Peserta BAKAT bergambar di hadapan projek ternakan kelulut di Kem Batu Tiga, Kluang.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan tahun lalu, program Ekonomi MADANI ATM telah berjaya dilaksanakan di 60 kem ATM seluruh negara melibatkan 96 projek dengan penyertaan seramai 1,265 ahli BAKAT serta kerjasama 20 universiti awam.

Jelasnya pada tahun ini, program Ekonomi MADANI ATM akan diperluaskan secara berfasa dengan sasaran keseluruhan melibatkan 90 kem ATM, 156 projek ekonomi komuniti serta penyertaan seramai 2,235 ahli BAKAT di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ahli BAKAT terima manfaat

ZANARIAH
ZANARIAH

Sementara itu, ahli BAKAT Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Kuantan, Zanariah Daniel berkata, pihaknya melaksanakan projek hidroponik tanaman sayuran sejak Januari lalu melibatkan 10 peserta dan 438 pot tanaman.

“Melalui sistem hidroponik ini, kami bukan sahaja belajar tentang pertanian moden, tetapi juga turut dapat menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Di Markas Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Johor Bahru pula, BAKAT Laut melaksanakan projek rumah cendawan tiram putih menggunakan teknologi kawalan automatik bagi pengudaraan dan kelembapan.

Ahli BAKAT TLDM, Sakinah Abdul Hamid berkata, projek itu memberi pengalaman baharu dalam bidang pertanian moden serta pemasaran hasil tani.

SAKINAH
SAKINAH

“Kami menggunakan teknologi dalam sistem rumah cendawan bertutup dengan kawalan kipas dan air secara automatik.

"Setakat ini, hampir 180 kilogram cendawan berjaya dihasilkan dalam tempoh enam bulan menerusi kira-kira 1,000 bongkah fasa pertama,” katanya.

Di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), ahli BAKAT Tentera Darat Malaysia (TDM) memberi tumpuan kepada penternakan madu kelulut yang kini berkembang daripada 35 lot kepada 40 lot dengan penambahan lima lot baharu sejak projek dilaksanakan.

Wakil peserta, Afiqah Saat berkata, projek itu memberi pendedahan baharu kepada peserta dalam bidang penternakan lebah kelulut serta pengurusan hasil.

AFIQAH
AFIQAH

“Ini satu pengalaman yang sangat baik kerana kami dapat belajar perkara baharu dalam penternakan kelulut. Ia juga membuka peluang pendapatan dan ilmu untuk masa depan,” katanya.

Pembangunan ekonomi dan keusahawanan

Dalam perkembangan sama, Ketua Penyelidik Kelulut Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Shamsul Bahrin Abd Razak berkata, pihak universiti terus komited membantu ahli-ahli BAKAT ATM meningkatkan kemahiran menerusi program ternakan kelulut yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

“Kita menyediakan latihan berbentuk kemahiran dan maklumat teknikal melalui beberapa siri bengkel termasuk bengkel asas ternakan kelulut yang dilaksanakan secara praktikal di lapangan.

“Selepas menguasai asas tersebut, peserta turut diberi pendedahan kepada penghasilan produk hiliran, khususnya produk kosmetik berasaskan madu kelulut,” katanya.

NAJMUDDIN
NAJMUDDIN

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Boustead Plantations Berhad, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, syarikat itu tampil sebagai rakan strategik industri yang menyokong pelaksanaan Projek Ekonomi MADANI ATM menerusi pembangunan projek madu kelulut di kem-kem ATM di seluruh negara.

Menurut beliau, sokongan Boustead Plantations tidak hanya tertumpu kepada aspek pembangunan malah turut merangkumi pengukuhan rantaian nilai melalui komitmen pembelian sekurang-kurangnya 70 peratus hasil madu kelulut yang dihasilkan di setiap kem terlibat.

“Ahli-ahli BAKAT yang terlibat tidak perlu risau kerana sekurang-kurangnya 70 peratus hasil mereka sudah ada pembeli,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!