19 kilang haram beroperasi di Pulau Indah dirobohkan

KLANG – Sebanyak 19 struktur kilang tanpa kebenaran di kawasan Pulau Indah, Klang dikenakan tindakan perobohan secara bersepadu bermula Ahad hingga Khamis ini.
Operasi itu dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor di bawah peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Bahagian Korporat, Audit Pengurusan Tanah dan Inovasi PTG Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu turut membabitkan tindakan pemotongan bekalan utiliti terhadap premis terlibat.
Menurut kenyataan itu, semua pemilik premis sudah diberikan notis amaran serta tempoh mencukupi untuk mengosongkan kawasan sejak 7 April lalu sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.
"Seramai kira-kira 300 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan teknikal terbabit bagi memastikan kelancaran serta keselamatan operasi di lapangan," katanya pada Selasa.
Antara agensi terlibat ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta PDT seluruh Selangor.
Menurut kenyataan itu, kerja pembersihan menyeluruh akan dilakukan secara berperingkat selepas operasi perobohan bagi memastikan kawasan terlibat dipulihkan ke keadaan selamat, teratur dan terkawal.
"Ia termasuk pengosongan tapak, pelupusan sisa secara teratur serta pemulihan kawasan agar bebas daripada sebarang struktur dan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, pendekatan itu mencerminkan ketegasan kerajaan negeri yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan selain memperkukuh tadbir urus tanah secara menyeluruh.
Katanya, pembangunan semula selepas operasi perobohan dijangka meningkatkan nilai hartanah dan daya tarikan kawasan industri sah berhampiran.
"Kerajaan negeri mahu memastikan setiap lot baharu di kawasan ini mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) lengkap.
"Objektif utama adalah mewujudkan ekosistem industri yang harmoni supaya pengusaha sah dapat beroperasi dalam persekitaran tersusun, selamat dan kompetitif," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan secara bersepadu akan terus dipergiat bagi memastikan tiada pelanggaran berulang pada masa depan.
"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang demi melindungi kepentingan awam, keselamatan masyarakat serta kelestarian alam sekitar," tegas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

