Adat Nogoghi bukan mainan oghang politik

SEBAGAI anak jati Negeri Sembilan, Merak Jalanan malu tengok apa yang berlaku sejak dua minggu lalu.
Negeri yang selama ini gah Adat Perpatih, sopan santun dan sistem pemerintahan beradat kini bahan sembang satu Malaysia gara-gara kerakusan orang berkepentingan berebut pengaruh dan kuasa.
Yang paling menyedihkan, ada ahli politik, cybertrooper dan ‘pakar segera’ adat tiba-tiba muncul macam cendawan lepas hujan. Masing-masing mentafsir adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri ikut selera politik sendiri.
Kok oghang nogoghi cakap, “jangan main agak-agak kalau tak tahu oghang dalam.”
Adat ni bukan main petik dalam Facebook, TikTok atau grup WhatsApp. Adat Perpatih ada tertibnya, ada susun galurnya, ada maruahnya.
Bila politik mula memanipulasi urusan institusi raja dan Datuk Undang, maka jadilah macam hari ini. Ceritanya makin mengarut, institusi adat jadi bahan senda, malah berlaku pula dakwaan pelantikan Datuk Undang yang bercelaru khususnya di Luak Sungei Ujong.
Merak Jalanan nak pesan, orang luar Negeri Sembilan jangan sewenang-wenangnya masuk campur kalau tak faham adat dan sejarah negeri. Jangan sebab tengok satu dua posting, terus rasa diri layak jadi hakim adat. “Tak usah nak ajar itik boghonang,” kata orang tua-tua nogoghi.
Negeri Sembilan dibina atas adat diwarisi, bukan atas suara keyboard warrior yang baru belajar beza antara Undang dan Yang di-Pertuan Besar.
Merak Jalanan harap semua pihak kembali berpijak di bumi nyata. Hormatilah adat, hormatilah institusi Datuk Undang dan raja serta jangan jadikan negeri ini medan percaturan politik murahan. Negeri ini bukan pentas sarkas untuk siapa-siapa tunjuk kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
