Cicit Datuk Siamang Gagap harap semua bersatu selesai krisis Negeri Sembilan

SEREMBAN – Lima wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Istana Hinggap dan Wisma Negeri di sini pada Khamis bagi menyatakan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mereka tiba di hadapan istana pada jam 11.15 pagi sebelum menyerahkan memorandum kepada Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali.
NGO berkenaan ialah Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS), Pertubuhan Sejarah dan Adat Perpatih Daerah Kuala Pilah, Pertubuhan Adab dan Budaya Mertang, Persatuan Kebajikan Insan DK serta Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis (PKORM).
Presiden PROFANS yang juga cicit kepada pahlawan terkenal Negeri Sembilan Datuk Siamang Gagap, Muhamad Kamel Yassin berkata, kemelut yang berlaku ketika ini perlu diselesaikan segera berpandukan adat yang telah sekian lama diamalkan.
“Sebagai rakyat Negeri Sembilan, saya mengharapkan kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Hari ini, semangat Datuk Siamang Gagap mengalir dalam jiwa saya sebab itu saya menyeru agar semua pihak bersatu bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemelut tersebut sebagai kecil, namun boleh menjadi rumit sekiranya tidak diselesaikan secara muafakat dan berlandaskan adat, tanpa diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan.
Tambahnya, sekiranya rakyat tidak bersatu dalam berdepan kemelut berkenaan, ia ibarat seperti bendera Negeri Sembilan dikoyakkan.
"Warna kuning pada bendera merujuk kepada raja, warna merah rakyat manakala warna hitam adalah Undang.
"Kalau rakyat tidak bersama dalam menyelesaikan masalah ini, seolah-olah kita mengoyakkan bendera Negeri Sembilan dengan membuang warna merah. Ini menunjukkan kita sudah lagi tidak satu hati.
"Gabungan ketiga-tiga elemen tersebut amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara tanpa campur tangan pihak berkepentingan," katanya.

Tegas beliau, kesetiaan kepada Tuanku Munawir adalah perkara utama dan tidak boleh dipertikaikan dalam apa jua keadaan.
"Yang penting Tuanku mesti dikekalkan, itu prinsip kami sebagai rakyat Negeri Sembilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

