Mubarak, Veteran UMNO desak PDRM, MCMC siasat isu hina Sultan Selangor

SHAH ALAM – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor bersama Veteran UMNO Selangor mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan penghinaan terhadap institusi diraja di media sosial.
Mereka turut menuntut tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pihak yang terlibat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak menegaskan tindakan berkenaan penting bagi memastikan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat majmuk di Selangor terus terpelihara.
Menurut mereka, sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti institusi raja tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan kerana ia boleh menjejaskan perpaduan rakyat.
"Pihak berkuasa perlu bertindak segera tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati menghina atau memperlekeh institusi diraja," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Kenyataan itu turut merujuk kepada isu berkaitan penternakan babi di Selangor yang sebelum ini mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya isu berkenaan dimuktamadkan dan tidak lagi dipolemikkan.
Selain itu, mereka turut mengkritik kenyataan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew yang disifatkan sebagai tidak wajar dan boleh mengeruhkan keadaan.
Mubarak dan Veteran UMNO Selangor menegaskan, walaupun kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan Persekutuan, ia tidak bersifat mutlak dan perlu mematuhi batas undang-undang terutama apabila melibatkan institusi raja dan sensitiviti masyarakat.
Mereka berharap semua pihak menghentikan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menyeru agar isu berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
"Kami berharap semua pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik dapat bersama-bersama membantu pihak berkuasa negeri melaksanakan titah Sultan Selangor dalam isu ini demi perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di negeri ini," ujar kenyataan berkenaan.
Sinar Harian pada 7 Mei lalu melaporkan, Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

