Operasi pembenihan awan di Kedah, Perlis bermula Ahad ini

PUTRAJAYA - Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan di Kedah dan Perlis bermula Ahad ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Authur Joseph Kurup berkata, OPA Siri 5 dan 6 itu merupakan langkah proaktif kerajaan bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.
"Operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris di Kedah bagi meningkatkan paras air empangan yang berada pada paras waspada," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pelaksanaan OPA ini melibatkan kerjasama strategik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"OPA akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang teliti oleh METMalaysia dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera serta corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi.
"Kawasan sasaran dipilih berdasarkan kehadiran awan hujan yang berpotensi untuk proses pembenihan," jelas beliau.
Justeru, Authur menasihati orang awam untuk sentiasa mengikuti MET Malaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca yang terkini menerusi laman sesawang (www.met.gov.my), aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi (Facebook, Instagram, X, Youtube dan Telegram) atau hubungi talian Hotline 1-800-22-1638.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MetMalaysia untuk menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri-negeri yang berada pada tahap kritikal, khususnya Kedah dan Perlis.
Beliau berkata, langkah itu merupakan keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa, selain menyarankan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik agar operasi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

