X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Runner bayar seikhlas hati

Wan Runner menawarkan khidmat 'runner' di sekitar Pasir Mas dengan bayaran seikhlas hati sepanjang perlaksanaan PKP yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini.
A
A

PASIR MAS - "Kalau tak bayar upah pun tak apa...saya ikhlas jadi runner," kata seorang pemuda yang menawarkan khidmat 'runner' di sekitar Pasir Mas.

Syofwan Zakaria, 30, atau lebih dikenali sebagai Wan Runner berkata pelanggan juga boleh membayar seikhlas hati di atas khidmatnya sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dia hanya mahu membantu penduduk dan memastikan kelancaran PKP.

"Biar saya jadi sebahagian daripada 'barisan hadapan' negara bagi memutuskan rantaian penyakit pandemik Coronavirus (Covid-19).

"Saya tidak memikirkan soal upah sebaliknya mahu memudahkan kerja orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu keluar rumah. Apa yang penting anda duduk di rumah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Pembaiki telefon itu berkata, dia mendapat idea itu selepas tidak dapat bekerja kerana kesukaran mendapatkan bekalan alat ganti telefon sepanjang PKP.

Wan Runner (kanan) bersama salah seoraang penduduk yang mendapatkan khidmatnya.
Wan Runner (kanan) bersama salah seoraang penduduk yang mendapatkan khidmatnya.

Menurutnya, lebih terkesan apabila melihat khidmat penghantaran tidak sampai secara menyeluruh di ceruk kampung.

Katanya, setakat ini ramai yang menggunakan khidmatnya untuk membeli keperluan dapur, makanan siap masak dan penghantaran barang.

"Alhamdulillah, walaupun saya tidak menetapkan harga pada perkhidmatan yang dilakukan tetapi kesemua mereka menghulurkan upah yang setimpal.

"Ada yang tidak bayar pun tapi saya tidak kisah sebab niat untuk membantu meringankan beban orang ramai dalam tempoh sukar ini," katanya.

Wan Runner berkata, setakat ini kebanyakan mereka yang menggunakan khidmatnya ialah mereka yang bekerja di luar Kelantan yang mahu membeli keperluan dapur untuk ibu bapa mereka di kampung.

"Ramai yang lega apabila mendapat tahu saya membuat perkhidmatan ini di kampung kerana mereka risau keselamatan ibu bapa yang sudah berumur dan tinggal sendirian tanpa anak-anak," katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan khidmat Wan Runner boleh hubungi talian 016-978 0407.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf