Lebih baik PABM fokus pembangunan akar umbi

Cheema
Cheema
A
A
A

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) dinasihatkan untuk memberi fokus kepada pembangunan akar umbi dan pendidikan anti dadah berbanding membelanjakan ratusan ribu ringgit membuat rayuan di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

“Kos untuk merayu agak mahal, PABM perlu berfikir banyak kali sebelum merayu kerana Sukan Asia dan Sukan Komanwel hanya dianjurkan pada 2022 manakala Sukan SEA dijadualkan pada akhir 2021.

“Adalah lebih bijak untuk belanjakan wang itu bagi mewujudkan kesedaran menghapuskan isu tersebut. Ia sesuatu yang baik untuk membawa kes itu ke CAS jika peluang untuk menang cerah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping dan Perubatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema.

Terdahulu, PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun bermula 1 April hingga 1 April 2021 selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

IWF juga tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF selama lima bulan sehingga 1 September 2020 susulan beberapa kes doping melibatkan badang negara pada 2018.

IWF memaklumkan bahawa penggantungan satu tahun tersebut akan dikaji semula dan mungkin akan ditarik balik seawal 1 Oktober depan jika PABM boleh menunjukkan yang mereka telah mencapai kriteria yang telah ditetapkan.

Sehingga kini tidak ada seorang atlet angkat berat Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo, namun harapan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Muhammad Aznil Bidin untuk melayakkan diri musnah akibat penggantungan tersebut.

PABM juga dalam perancangan untuk mendapatkan maklumat lanjut selain mengkaji kesan dan akibat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada membawa kes itu ke CAS atau tidak. - Bernama

Artikel Berkaitan: