Pemasangan paip baharu tidak ganggu bekalan sedia ada - PBAPP

GEORGE TOWN - Projek pemasangan dua saluran paip baharu yang sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak akan menjejaskan operasi paip sedia ada mahupun bekalan air kepada pengguna sepanjang pemasangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan paip tambahan bagi meningkatkan kapasiti pengagihan air dan bukannya menggantikan sistem sedia ada.
“Paip ini adalah tambahan, seperti membina jalan baharu tanpa menutup jalan lama. Bekalan air sedia ada akan terus berjalan seperti biasa.
"Tiada gangguan bekalan air akan berlaku ketika pemasangan paip-paip ini," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan tapak pemasangan dua saluran paip tersebut di Jelutong di sini pada Rabu.
Pathmanathan berkata, pemasangan paip tersebut merupakan sebahagian daripada Fasa 3 Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) PBAPP dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM416 juta.
Menurutnya, projek itu melibatkan pembinaan saluran paip khusus bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai sehingga ke kawasan pulau.
“Paip ini akan bersambung dengan Projek Paip Berkembar Dasar Laut Pulau Pinang ke-3 (PTSP ke-3) yang telah siap sebelum ini.
"Ia seterusnya menyalurkan air ke kawasan seperti Bukit Dumbar,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi segmen di bahagian pulau, projek pemasangan paip sepanjang kira-kira 3.9 kilometer akan menghubungkan lokasi pendaratan di Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar.
Katanya, projek tersebut dibahagikan kepada dua fasa berikutan kekangan pengambilan tanah dengan fasa pertama telah ditender manakala fasa kedua dijangka ditender dalam masa terdekat.
“Fasa kedua ini melibatkan jarak kira-kira satu kilometer termasuk kerja lintasan Sungai Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, satu lagi komponen penting projek ialah pembinaan paip sepanjang kira-kira 13 hingga 14 kilometer di tanah besar dari Sungai Dua ke Butterworth, yang kini dalam peringkat perancangan jajaran.
Beliau juga mengakui pelaksanaan projek paip lebih mencabar berbanding pembinaan loji kerana perlu melalui laluan jalan raya serta melibatkan pelbagai utiliti sedia ada.
“Kerja pemasangan paip perlu mengambil kira trafik, utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi serta kerja pengalihan kemudahan. Ini antara cabaran utama projek.
"Bagaimanapun, kita yakin kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan mampu mempercepatkan pelaksanaan projek," katanya lagi.
Daripada segi kos, beliau berkata, keseluruhan projek saluran paip di bawah Fasa 3 WCP 2030 dianggarkan bernilai antara RM400 juta hingga RM416 juta, manakala kontrak awal yang telah ditender berjumlah RM56 juta.
"Projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada Oktober 2026 namun dijangka dilanjutkan sehingga Mei 2027 berikutan beberapa kekangan teknikal dan logistik," ujarnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan pelaksanaan projek tersebut penting bagi menampung peningkatan permintaan air khususnya di daerah Barat Daya.
“Pada masa ini, kira-kira 400 juta liter sehari (MLD) air disalurkan ke bahagian pulau. Dengan adanya paip khusus ini, kapasiti boleh ditingkatkan sehingga 600 MLD. Jadi ada pertambahan jumlah air disitu iaitu 200 MLD," katanya.
Menurutnya, peningkatan permintaan air dijangka didorong oleh pembangunan pesat termasuk projek Pulau Silikon, pembangunan hartanah serta perkembangan kawasan seperti Relau dan sekitarnya.
“Projek ini penting untuk memastikan bekalan air mencukupi dan stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di Pulau Pinang menjelang 2030,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

