Pekerja harus mempunyai ehsan - Amirudin

SHAH ALAM - Konsep ehsan bukan sekadar membawa maksud kebajikan atau belas kasihan sebaliknya berakar daripada kesedaran setiap tindakan manusia sentiasa diperhatikan oleh Tuhan sama ada dalam keadaan terang mahupun tersembunyi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ehsan bermaksud kita bekerja dengan kesedaran bahawa ALLAH melihat setiap apa yang kita lakukan.
"Sama ada ketika ada pemantauan seperti CCTV atau tidak, ketika ketua hadir atau tiada, nilai ini mendorong kita melakukan sesuatu bukan sekadar sempurna tetapi melebihi daripada kesempurnaan.
"Bukan sekadar siap kerja tepat pada waktunya, tetapi kita melakukannya dengan rasa suka dan tanggungjawab yang tinggi. Itulah yang membezakan antara kerja yang biasa dengan kerja yang berlandaskan ehsan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman.
Tambah Amirudin, pekerja juga perlu sentiasa menambah ilmu dan menguasai kemahiran bagi bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
Ujarnya, pekerja bukan sahaja menjadi pemacu utama ekonomi negara, malah perlu memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi bagi menjadi kesuma bangsa.
“Pekerja bukan hanya menjadi nadi kepada pergerakan ekonomi. Kita perlu menjadi masyarakat Madani dan ini perlu disokong dengan pekerja yang memiki nilai Madani iaitu nilai kemanusiaan yang tinggi dan keikhlasan yang baik.
“Dia juga adalah orang yang sentiasa mahu berubah, belajar, menambah baik nilai-nilai itu. Pekerja harus mempunyai ehsan, diikuti dengan keikhlasan yang akan menjadikan kita kesuma bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap sektor swasta dan awam dapat mengenepikan perbezaan dan berganding mahu dalam menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat yang dijangka terus berlarutan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus berusaha melindungi semua sektor terlibat sekali gus memastikan impak cabaran ekonomi semasa tidak dirasai rakyat.
“Sektor awam dan swasta perlu bersama-sama untuk melalui saat-saat yang agak sukar ini. Ini bukan masalah siapa yang akan kekal, atau siapa yang tidak akan kekal. Ini daya tahan kita bersama,” katanya.
Mengulas pencapaian ekonomi negeri, beliau memaklumkan Selangor terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi serta nilai pelaburan mencecah puluhan bilion ringgit.
Namun begitu, beliau mengingatkan usaha berterusan perlu diperkukuh bagi memastikan Selangor kekal sebagai “heartbeat of the Malaysian economy” di samping menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
Sementara itu, uajrnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap cabaran semasa termasuk kesan kenaikan harga global dan ketidaktentuan ekonomi dunia, yang dijangka memberi impak kepada rakyat dalam tempoh terdekat.
“Kita mungkin belum merasai sepenuhnya kesannya, tetapi ada jangkaan ia akan mula dirasai dalam beberapa bulan akan datang. Oleh itu, kita perlu bersatu hati, mengetepikan perbezaan dan memperkukuh kerjasama,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan pekerja, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta akan terus dipelihara melalui pelbagai inisiatif termasuk pelarasan gaji minimum serta sokongan kepada sektor-sektor penting.
Amirudin turut menyeru semua pihak agar terus melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan berlandaskan nilai ehsan demi memastikan kestabilan serta kemakmuran negeri dan negara dapat dikekalkan.
“Ini bukan soal siapa kekal atau tidak, tetapi soal kelangsungan kita bersama. Dengan kesungguhan, kesatuan dan nilai ihsan, insya-ALLAH kita mampu menghadapi apa jua cabaran dan mencipta kejayaan,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, turut diumumkan penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negeri Selangor sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang golongan pekerja dalam memacu pembangunan negeri.
Terdapat enam kategori antaranya, tokoh pekerja negeri sektor swasta [eksekutif], swasta [bukan eksekutif], perkhidmatan awam dan swasta [kelainan upaya], awam [kumpulan pelaksana], awam [pengurusan & profesional] dan awam [pengurusan atasan].
Antara penerima enugerah tersebut ialah Nurliana Zaimon kategori perkhidmatan awam pusat pelaksana; Norita Mahmud perkhidmatan awam kelainan upaya dan Deva Celan Shadzan bagi eksekutif sektor swasta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

