Terengganu hidupkan kembali sukan warisan, bangkit nostalgia 1980-an

MARANG – Terengganu berusaha menghidupkan kembali sukan warisan dan permainan rakyat yang kian dilupakan menerusi penganjuran sukan air tradisional sempena Karnival Candat Sotong 2026.
Inisiatif yang berlangsung di Pantai Kekabu itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian ribuan pelancong, malah dilihat sebagai platform terbaik untuk memartabatkan semula budaya masyarakat pesisir pantai kepada generasi muda.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran sukan rakyat itu akan dijadikan acara tahunan dalam usaha memastikan adat lama tidak terus ditelan zaman.

"Sukan air seperti ini mencerminkan cara hidup dan budaya asal masyarakat kita. Ia adalah langkah penting bagi menghidupkan kembali adat serta warisan yang telah lama ditinggalkan.
"Tahun depan kita akan memperkasakan lagi program ini dengan menambah lebih banyak acara tradisional seperti sukan 'pukul nyo' (kukur kelapa), titing bulu ayam, main dam dan pelbagai lagi sukan rakyat yang pernah menjadi identiti kita suatu ketika dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan yang berlangsung selama empat hari dan berakhir pada Sabtu.
Menurut Razali, walaupun skala penganjuran akan diperbesarkan pada masa hadapan, kerajaan negeri tetap menekankan aspek pematuhan syariat bagi memastikan warisan tersebut dapat terus dikekalkan.
"Kita mahu lebih ramai terlibat, namun ia tetap dilaksanakan mengikut garis panduan seperti menjaga adab dan berpakaian sopan agar selari dengan imej Terengganu," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Sukan Air Marang, Mazlan Yusuf menyifatkan, penganjuran kali ini sebagai medan mengimbau kenangan zaman 80an menerusi acara seperti panjat tiang licin, pukul bantal, titing buluh dan tangkap itik.
"Acara tangkap itik misalnya, kita buka kepada orang ramai tanpa pendaftaran supaya semua dapat merasai sendiri keseronokan permainan tradisi ini.
"Sambutan komuniti setempat sangat luar biasa, membuktikan bahawa sukan warisan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat jika diberi ruang dan peluang," ujarnya.

Program yang menjadi sebahagian daripada pengisian Karnival Candat Sotong Marang 2026 itu turut menampilkan acara tarik tali dan berenang yang menjadi daya tarikan utama pengunjung ke daerah Marang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

