Perlukah Iran henti berunding?

Tanggapan diplomasi mampu meredakan ketegangan antara Teheran dan Washington semakin sukar dipertahankan. Gambar hiasan
Tanggapan diplomasi mampu meredakan ketegangan antara Teheran dan Washington semakin sukar dipertahankan. Gambar hiasan
A
A
A

DENGAN tamatnya tempoh gencatan senjata pada 20 April, Iran kini berada di persimpangan jalan menilai semula strateginya. Tanggapan diplomasi mampu meredakan ketegangan antara Teheran dan Washington semakin sukar dipertahankan.

Malah, meneruskan meja rundingan mungkin sekadar satu pembaziran masa buat Iran. Walaupun diplomasi sering dilihat langkah rasional mengelakkan konflik, tidak semua rundingan dijalankan atas dasar kejujuran.

Sering kali, ia hanyalah taktik membeli masa, menjaga imej politik atau mengelak kelihatan lemah di mata dunia. Berikut ialah faktor utama mengapa Iran perlu mempersoalkan keberkesanan diplomasi tersebut.

1. Dilema kuasa besar: Pantang kelihatan lemah

Masalah utama berakar umbi dalam realiti politik Amerika Syarikat (AS). Sebagai kuasa besar yang kini dicabar kebangkitan China, AS tidak boleh membiarkan imej tercalar dengan kelihatan tunduk kepada Iran.

Sebarang perjanjian dilihat memberi ruang kepada Iran dianggap tanda kejatuhan pengaruh global AS. Maka, rundingan bukanlah bermatlamat mencari kompromi sejati, sebaliknya hanya mengekalkan persepsi dominasi di mata pengundi domestik dan sekutu antarabangsa.

2. Halangan struktur: Agenda Israel

Faktor kedua yang lebih kritikal ialah pengaruh Israel. Secara struktural dan sejarah, Israel tidak berminat dengan keamanan mutlak jika menyekat matlamat strategik jangka panjang mereka.

Realiti demografi: Untuk kekal negara majoriti Yahudi, Israel tidak akan menerima kepulangan jutaan pelarian Palestin kerana menggugat imbangan kuasa politik mereka.

Artikel Berkaitan:

Realiti wilayah (Matlamat Greater Israel): Keamanan memerlukan sempadan tetap dan diiktiraf. Namun, bagi sebuah negara yang ingin terus meluaskan wilayah, sempadan tetap adalah kekangan. Israel melihat fleksibiliti sempadan sebagai satu keperluan strategi.

Oleh kerana dasar luar AS di Asia Barat sangat terikat dengan kepentingan Israel, Washington tidak akan mampu mendesak satu pelan keamanan yang tidak dipersetujui Tel Aviv.

3. Corak sabotaj diplomasi yang konsisten

Terdapat corak yang jelas. Setiap kali rundingan mula menunjukkan kemajuan (seperti melalui perantaraan Oman atau Pakistan), ia akan diganggu provokasi atau serangan ketenteraan.

Bagi Iran, ia membuktikan diplomasi akan sentiasa digagalkan sebaik sahaja mula membuahkan hasil. Ketidakstabilan sengaja dikekalkan sebagai alat untuk menghalang penyelesaian muktamad.

4. Ketidakstabilan sebagai strategi

Jika keamanan menstabilkan sempadan dan sempadan yang stabil menyekat peluasan wilayah, maka ketidakstabilan menjadi senjata yang berguna. Konflik berterusan mengekalkan situasi dalam keadaan cair (fluid), sekali gus memberi ruang untuk tindakan ketenteraan pada bila-bila masa.

Ketegangan di pelbagai barisan hadapan, dari Lubnan ke Syria hingga ke Iran bukanlah satu kebetulan. Ia adalah sebahagian daripada rancangan permainan Zionis yang tidak akan berakhir selagi matlamat Greater Israel belum tercapai.

Kesimpulannya, konflik sebagai pilihan terakhir. Rekod sejarah menunjukkan AS hanya akan benar-benar berusaha menamatkan permusuhan apabila berdepan jumlah korban yang besar (kepulangan askar dalam beg mayat).

Untuk memaksa perubahan drastik dalam dasar Washington, Iran mungkin terpaksa beralih daripada sekadar tekanan ekonomi seperti gangguan di Selat Hormuz, kepada sasaran aset bernilai tinggi termasuk kapal pengangkut pesawat tentera laut AS.

Walaupun Iran mempamerkan kawalan diri yang tinggi selama ini dengan hanya menyasarkan pangkalan tentera tanpa korban jiwa besar, dinamika itu akan berubah jika tentera darat AS terlibat secara langsung. Untuk memecahkan kebuntuan politik di Washington, Iran mungkin perlu melangkaui had kesabaran sebelum ini.

Harapannya, jika konflik memuncak, ia akan berlaku pantas bagi meminimumkan kehilangan nyawa dan menghentikan keupayaan Israel untuk terus mencetuskan huru-hara, sekali gus membolehkan ekonomi global kembali pulih.

* Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!