Covid-19: Tiada kes baharu di PJ dua hari berturut-turut

Meskipun pihak keselamatan dimaki hamun dan diserang kononnya menyusahkan orang awam namun kawalan ketat dan sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 dilaksanakan akhirnya berbaloi dan menunjukkan hasil positif.
Meskipun pihak keselamatan dimaki hamun dan diserang kononnya menyusahkan orang awam namun kawalan ketat dan sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 dilaksanakan akhirnya berbaloi dan menunjukkan hasil positif.
A
A
A

PETALING JAYA - Dimaki bodoh, ditolak semasa bertugas kononnya menyusahkan orang awam namun kawalan ketat dan sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 dilaksanakan pasukan keselamatan akhirnya berbaloi dan menunjukkan hasil positif.

Buktinya, sifar kes baharu direkod di Petaling Jaya selama dua hari berturut-turut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Sayuthi Bakar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan pencapaian yang baik dan inisiatif penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menunjukkan hasil.

“Sukacita saya maklumkan kepada semua, setakat ini daerah Petaling Jaya mencatat sifar kes baharu Covid-19 selama dua hari berturut-turut. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Datuk Bandar kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

“Bagi saya ini adalah pencapaian yang amat baik. Inisiatif penguatkuasaan PKP yang telah kita laksanakan kini menunjukkan hasil,” katanya.

Beliau berkata, berita baik itu harus disebarkan kepada petugas barisan hadapan di lapangan supaya mereka sedar, penat lelah mereka, maki dan hamun yang dilontarkan kepada anggota polis ketika SJR dilaksanakan tidaklah sia sia.

“Teruskanlah berusaha untuk kekalkan sifar kes baru di Petaling Jaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 30-an ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak berkuasa yang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Persiaran Surian, Damansara pada 31 Mac lalu.

Semalam seorang lelaki warga Iran pula ditahan ketika sekatan jalan raya di Tol PJS 2, di sini apabila bertindak agresif dan menengking pegawai polis yang menjalankan Ops Covid-19.

Nik Ezanee sebelum ini pernah meminta maaf kerana SJR yang dilakukan menimbulkan kesulitan kepada ramai pihak namun menjelaskan tugas dilaksanakan itu demi negara dan keselamatan rakyat.