'Boleh ke salam...?' - Detik raya adik pulih koma undang sebak

PASIR PUTEH - Detik pagi hari raya yang sepatutnya penuh kegembiraan bertukar menyentuh hati apabila seorang pemuda yang sedang pulih daripada koma dilihat keliru ketika bersalaman dengan ahli keluarga.
Momen itu dirakam dan dikongsi kakaknya, Nik Nur Ismaizzati Nik Esmadi, 31, di TikTok sehingga tular, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Nik Nur Ismaizzati berkata, adiknya sebelum ini koma selama kira-kira seminggu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke bazar Ramadan, bulan lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku berdekatan simpang empat di Tok Bali, Kelantan apabila motosikal ditunggang adiknya menghala ke Bachok dipercayai terlanggar sebuah lori yang membuat pusingan U mengejut.
“Ketika saya sampai, dia sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital dan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana pendarahan di kepala. Sebaik sedar, dia mengalami gangguan memori sehingga ada ketika berkelakuan seperti kanak-kanak.
“Dia kenal kami, tetapi ada masa tidak cam muka dan ingat dirinya masih kecil, sebab itu dia keliru dalam video tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam video berkenaan, adiknya, Nik Muhammad Hazrul Akma Nik Esmadi, 23, dilihat bertanya secara spontan sama ada dia boleh bersalaman, seolah-olah tidak pasti hubungan dengan individu di hadapannya.
Walaupun mencuit hati, situasi itu sebenarnya menggambarkan keadaan sebenar pemuda berkenaan yang masih dalam proses pemulihan ingatan.
Menurut Nik Nur Ismaizzati, keadaan adiknya kini semakin menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mula mengingati beberapa perkara.
“Bila kami tunjuk video dan bawa ke tempat kejadian, dia ingat sedikit demi sedikit, walaupun masih ada sifat keanak-anakan,” katanya.
Katanya, dia menghargai sokongan orang ramai yang memberi kata-kata semangat di media sosial kerana ia membantu menaikkan semangat mereka sekeluarga, khususnya dalam memastikan adiknya segera pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
