Krisis Negeri Sembilan: Akmal Saleh - Kamil Munim terus bertelagah

Dr Akmal dan Kamil Munim
Dr Akmal dan Kamil Munim
A
A
A

SHAH ALAM - Perbalahan terbuka antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim susulan krisis politik di Negeri Sembilan seakan belum menemui penamatnya.

Terbaharu, Muhammad Kamil menerusi hantaran di media sosialnya menafikan pihaknya melayan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu seperti ‘lembu’ sebagaimana didakwa.

Beliau dalam masa sama menyelar beberapa kenyataan yang dibuat Dr Muhamad Akmal sebelum ini kerana didakwa menjurus ke arah meretakkan hubungan dalam gabungan Kerajaan Madani.

“Patutnya sebagai pengemudi pasukan anak muda, kita kena cipta dan cari ruang persefahaman, bukan melebarkan perbezaan.

“Tambahan pula, politik bukan gelanggang siapa paling kuat meloncat dan menjerit, tapi siapa paling berani angkat hujah dan titik temu.

“Sepatutnya saudara mencontohi sikap Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dalam mengurus dinamika dan rencam politik di negeri Perak,” katanya pada Selasa.

Kenyataan Kamil Munim di Facebook.
Kenyataan Kamil Munim di Facebook.

Muhammad Kamil dalam masa sama turut membidas Dr Muhamad Akmal kerana didakwa mengamalkan gejala politik yang gemar mencabar termasuk dalam kalangan parti gabungan sendiri.

“Jika pendekatan membentak ini menjadi taruhan bagi melambangkan ketokohan kita ini yang kononnya pemimpin muda yang berpegang teguh pada nilai budaya dan tradisi rumpun melayu, maka teruskanlah dengan lagak samseng Kampung Dusun ala Sarip Dol,” katanya.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini, menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat sebarang kesalahan, termasuk yang melibatkan rakan politik.

Menurutnya, UMNO terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja, namun tidak akan hanya mengikut arahan tanpa menegur perkara yang tidak betul.

Ia susulan kenyataan Muhammad Kamil yang memberi amaran keras kepadanya supaya menghentikan tindakan yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu juga menyifatkan tindakan beliau yang kerap mencetuskan polemik dengan rakan sekutu sebagai usaha 'menebuk kapal' sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!