Sidang DUN diteruskan bulan ini: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan tetap diadakan bulan ini bagi memenuhi peruntukan undang-undang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia perlu diadakan berikutan undang-undang menetapkan bahawa persidangan itu perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sidang DUN terakhir diadakan.

Menurutnya, persidangan tersebut akan diadakan seperti yang ditetapkan sebelum ini iaitu bermula 17 hingga 24 April ini.

"Mengikut Perlembagaan negeri, persidangan perlu diadakan kerana sekiranya tidak (diadakan) dalam tempoh enam bulan selepas persidangan akhir diadakan, DUN akan terbubar secara automatik. Oleh itu, selepas mendapat nasihat dari Penasihat Undang-undang Pulau Pinang, sidang DUN akan tetap diadakan.

"Bagaimanapun, kita akan lihat bagaimana ia akan diadakan bagi memenuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perlembagaan negeri," katanya kepada media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Tambahnya, antara pendekatan yang boleh diambil adalah memendekkan tempoh sidang DUN selain menjaga penjarakkan sosial.

"Kita akan memendekkan tempoh persidangan, mungkin dalam sejam sahaja. Tempoh yang singkat ini bagi memenuhi syarat supaya tidak melanggar peruntukan Perlembagaan. Selepas PKP tamat kita boleh bersidang lagi bagi membolehkan wakil rakyat membangkitkan semua isu khususnya perkara berhubung PKP ini.

"Bagaimanapun, kita sudah menerima soalan dari wakil rakyat dan akan dijawab secara bertulis ketika persidangan bermula kelak. Media akan dibenarkan membuat liputan namun perlu mematuhi penjarakkan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagaimanapun perkara itu akan dimuktamadkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) esok.