RM30 juta bantu usahawan PKS Pulau Pinang

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang (Skim Peka PKS) bagi membantu usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Skim Peka PKS yang diperkenalkan itu membolehkan usahawan yang terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) meneruskan perusahaan dengan penyediaan pusingan modal.

Menurutnya, terdapat dua kategori yang disediakan skim peka iaitu melibatkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Bagi IKS yang terlibat dalam sektor pembuatan, mereka boleh memohon pinjaman sehingga RM50,000 manakala bagi PKS yang terdiri daripada syarikat terlibat dalam sektor lain pula, permohonan adalah sehingga RM20,000.

"Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) merupakan agensi yang menguruskan skim ini dan usahawan yang berminat untuk mendapatkan pinjaman boleh mengemukakan permohonan melalui laman web www.pdc.gov.my bermula esok," katanya pada sidang media yang disiarkan menerusi Facebook Live di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow berkata, skim berkenaan adalah pinjaman tanpa faedah yang perlu dibayar kembali mengikut beberapa kaedah yang ditetapkan.

Katanya, memandangkan peruntukan untuk Skim Peka PKS yang disediakan hanya berjumlah RM30 juta, ia akan diberikan kepada pemohon terawal dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menyeru agar golongan usahawan membuat permohonan dengan Bantuan Prihatin PKS yang diumumkan oleh kerajaan Pusat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang ditawarkan menerusi Skim Peka PKS merupakan simbolik komitmen kerajaan negeri terhadap golongan usahawan PKS yang selama ini dianggap sebagai rakan kongsi dalam membangunkan Pulau Pinang.

"Pastinya kerajaan negeri tidak akan sesekali membiarkan mereka keseorangan pada waktu susah dan kita akan bersama-sama bangkit untuk membina semula Pulau Pinang," katanya.