Amanah beri sokongan kepada Saarani di Perak

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad meskipun berlaku kemelut politik di Negeri Sembilan ketika ini.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, parti itu tiada sebarang masalah dengan pentadbiran kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Saarani.

Asmuni
Asmuni

Menurutnya, tumpuan Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini adalah untuk membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

"Di Perak ini kita memberikan kepercayaan dan sokongan sepenuhnya kepada Saarani untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri. Kita berpuas hati dengan kerjasama serta hubungan baik antara parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kita juga beri jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di Perak kekal utuh sehingga PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas mengenai krisis yang berlaku di Negeri Sembilan, Asmuni berkata, perkara tersebut tidak akan menular ke negeri-negeri lain termasuk di Perak.

Menurut Ahli Jawatankuasa Amanah Pusat itu, isu tersebut akan dapat ditangani segera oleh pimpinan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin, apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu akan diselesaikan secara baik tanpa mengganggu gugat hubungan PH-BN.

Untuk rekod, kerajaan Perpaduan Perak dibentuk hasil gabungan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bersama sembilan ADUN BN selepas PRU15 lalu manakala PN sebagai pembangkang dengan 26 ADUN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!