14 ADUN BN tolak sokongan: Aminuddin menghadap Tuanku Muhriz

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun difahamkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pagi ini.
Difahamkan, pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan krisis pentadbiran selepas kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Aminuddin sebelum itu menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SMK Datuk Muhammad Yusof di Port Dickson pagi ini, namun dipercayai bergegas meninggalkan majlis berkenaan untuk menghadap Tuanku Muhriz.
Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada pagi Isnin mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan penarikan sokongan tersebut.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang didakwa membabitkan institusi adat dan Perlembagaan negeri.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak membuat pengisytiharan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Susulan itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungai Ujong supaya menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan.
Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi membabitkan Democratic Action Party (11), Parti Keadilan Rakyat (5) dan Parti Amanah Negara (1), manakala Barisan Nasional memperoleh 14 kerusi, sementara Parti Islam Se-Malaysia (3) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (2).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

