Rakyat ikrar taat setia

Wan Rosdy (empat kiri) dan barisan exco kerajaan negari bergambar bersama Al-Sultan Abdullah.
Wan Rosdy (empat kiri) dan barisan exco kerajaan negari bergambar bersama Al-Sultan Abdullah.
A
A
A

SELURUH rakyat Pahang akan terus setia di bawah pemerintahan Sultan Pahang keenam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah dan berjanji menggembleng seluruh tenaga bagi memastikan kedaulatan negeri ini terus terpelihara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seluruh rakyat bertuah kerana dapat bernaung di bawah payung pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang seperti mana ketika pemerintahan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah sebelum ini.

Menurutnya, beliau percaya pemerintahan Al-Sultan Abdullah terus cemerlang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Pahang.

"Sehubungan itu, seluruh rakyat berkeyakinan tinggi baginda mempunyai pendekatan tersendiri untuk dilaksanakan sepanjang pemerintahan baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan ikrar taat setia sempena Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar, semalam.

Wan Rosdy berkata, pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang disambut seluruh rakyat berbilang kaum di negeri ini.

"Di bawah pemerintahan baginda, bukan hanya kaum Melayu berasa kepentingan mereka dilindungi malah semua kaum lain termasuk masyarakat Orang Asli.

"Ini dimungkinkan dengan pemerintahan Tuanku sebagai faktor penyatu rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang ekonomi di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mewarisi keperibadian Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang begitu prihatin dalam mengambil tahu masalah dan kesusahan rakyat jelata.

"Keperibadian tuanku menepati sikap keluarga diraja Pahang, betapa raja, rakyat sehati sejiwa dan raja, rakyat berpisah tiada.

"Seluruh rakyat menadah tangan berdoa kepada ALLAH memohon kesejahteraan keluarga diraja Pahang dan dirahmati dunia akhirat,” katanya.