Tahfiz Muqarrabin fokus lahirkan generasi al-Quran walau berdepan cabaran kos operasi

KANGAR – Madrasah Tahfiz Muqarrabin di Taman Beseri Jaya di sini fokus melahirkan generasi celik al-Quran dan berakhlak mulia walaupun berdepan peningkatan kos operasi termasuk utiliti.
Pengetua Madrasah Tahfiz Muqarrabin, Muhammad Amin Arrazi Fakhruddin Arrazi berkata, institusi pendidikan itu kini menempatkan pelajar yang mengikuti pengajian tahfiz sepenuh masa dengan penekanan kepada hafazan, disiplin serta pembinaan sahsiah diri.
Menurut beliau, selain mengekalkan kualiti pembelajaran, pihak madrasah turut memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga termasuk keperluan harian, penginapan dan kemudahan asas melalui kos yang diperlukan sebanyak RM6,000 setiap bulan.
“Operasi madrasah memerlukan komitmen berterusan terutama melibatkan kos elektrik dan air, selain penyelenggaraan bangunan serta kemudahan pembelajaran.
“Walaupun berdepan kekangan tertentu, kami tetap berusaha memastikan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar menghafaz al-Quran dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, madrasah tersebut juga memberi perhatian kepada golongan anak yatim dan asnaf bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama yang sempurna.
Katanya, sokongan masyarakat setempat dan pelbagai pihak sebelum ini banyak membantu kelangsungan operasi madrasah, sekali gus memberi motivasi untuk terus memperkasa institusi berkenaan.
“Harapan kami agar madrasah ini terus menjadi pusat pendidikan al-Quran yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan melahirkan generasi berilmu serta berakhlak tinggi,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Muhammad Amin Arrazi melalui talian 011-7253 8299.
Bagi yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 559012337130 (Madrasah Tahfiz Muqarrabin).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

