Kucing kesayangan hilang lebih sebulan, wanita tawar ganjaran

Devika tawar ganjaran RM500 kepada sesiapa yang menjumpai Oci dalam keadaan selamat.
Devika tawar ganjaran RM500 kepada sesiapa yang menjumpai Oci dalam keadaan selamat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita sanggup menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa sahaja yang menjumpai kucing betina kesayangannya bernama 'Oci' dalam keadaan selamat.

K Devika, 35, berkata, kucing yang dipelihara sejak enam tahun itu didapati hilang sejak lebih sebulan lalu di kawasan perumahannya di Laman Sendayan di sini.

“Saya mempunyai 18 ekor kucing dan kebanyakannya adalah kucing terbiar yang diselamatkan termasuklah Oci.

“Semua kucing saya dipelihara di dalam rumah, tapi saya sedar yang Oci hilang selepas saya memanggil perkhidmatan kawalan perosak untuk melakukan semburan di rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, ketika itu Oci bersama beberapa ekor kucing lain dibiarkan berada di luar rumah buat sementara waktu bagi memudahkan kerja-kerja semburan dilakukan.

Bagaimanapun katanya, kucing tersebut tidak kelihatan meskipun kerja-kerja tersebut telah pun selesai.

"Saya sedih kerana sampai sekarang saya tak dapat cari Oci. Ada orang cakap Oci dah tak kenal lagi bau rumah saya kerana sudah disembur dengan racun perosak, sebab itu ia tak ingat jalan pulang.

"Saya dah cuba usaha cari Oci di sekitar kawasan taman perumahan ini untuk beberapa hari dan juga edarkan poster Oci di rumah penduduk termasuk di taman bersebelahan, tapi Oci masih tak dijumpai," katanya.

Dia yang bekerja sendiri berkata, ada dua individu yang menghubunginya memaklumkan telah melihat kucing seperti Oci, tetapi apabila diteliti ia bukannya Oci.

Artikel Berkaitan:

Tambah Devika, dia bersungguh mencari kucing terbabit termasuk sanggup menawarkan ganjaran kerana sudah menganggapnya seperti anak sendiri.

"Suami saya sudah meninggal tahun lalu kerana sakit jantung dan kami tidak mempunyai anak.

"Jadi kucing-kucing inilah 'anak' kami. Kalau anak kita hilang, kita akan berusaha sehabis baik untuk mencarinya dan macam itulah saya mencari Oci," katanya.

Justeru, dia masih mengharapkan orang ramai yang menjumpai Oci dalam keadaan selamat dapat menghubunginya di talian 017-2792681.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!