Pemenang pertandingan penulisan berdepan hukuman penjara

Tertuduh semasa proses perbicaraan di mahkamah. - Agensi
Tertuduh semasa proses perbicaraan di mahkamah. - Agensi
A
A
A

JAKARTA - Seorang pemuda di Kabupaten Malang berdepan hukuman penjara selepas kemenangan dalam pertandingan penulisan ilmiah antarabangsa bertukar menjadi kes jenayah melibatkan dadah.

Tertuduh, Alfan Harvi Putra, 24, dari Desa Pujon Lor, Kecamatan Pujon, kini sedang dibicarakan di Mahkamah Negeri Kepanjen atas pertuduhan berkaitan narkotik.

Menurut keterangan di mahkamah, kejadian bermula apabila Alfan menyertai satu pertandingan menulis yang ditemuinya melalui akaun laman sesawang gelap pada September 2025 yang dianjurkan oleh individu dikenali sebagai Yudas.

Dia kemudiannya menghasilkan artikel ilmiah berbahasa Inggeris bertajuk Penggunaan Microdosing vs Macrodosing Psikedelik, yang membincangkan potensi bahan Psikedelik dalam bidang perubatan.

“Artikel itu membahas manfaat zat Psikedelik dalam dunia perubatan untuk menyembuhkan penyakit,” katanya di hadapan hakim pada Rabu.

Alfan berjaya muncul sebagai pemenang selepas menewaskan sembilan peserta lain dari pelbagai negara dan dijanjikan hadiah berupa produk bernilai 50 euro (RM231).

Bagaimanapun, dia mendakwa pernah meminta agar hadiah tersebut ditukar kepada wang, termasuk dalam bentuk mata wang kripto seperti pertandingan lain yang pernah disertainya, namun permintaan itu ditolak.

Bungkusan hadiah itu kemudiannya dihantar dari Perancis melalui perkhidmatan penghantaran La Poste ke alamat rumahnya.

Penganjur kemudian memaklumkan bahawa kandungan pakej tersebut ialah bahan Synthetic cathinones.

Artikel Berkaitan:

Tanpa mengetahui bahawa bahan itu dilarang, Alfan pergi ke pejabat pos untuk mengambil bungkusan berkenaan pada 12 Oktober 2025 dan membayar caj pentadbiran sebanyak 25,000 rupiah (RM5.80).

Namun, sejurus selepas menerima bungkusan itu, dia ditahan oleh pegawai Badan Narkotika Nasional Provinsi (BNNP) Jawa Timur yang telah melakukan pemantauan awal.

“Saya baru mahu mencari maklumat tentang apa itu (cathinones) masa hendak mengambilnya.

"Ketika itu saya tidak terfikir untuk melaporkan, saya hanya mahu menyimpannya,” katanya.

Susulan penahanan itu, Alfan didakwa di bawah Pasal 114 ayat (1) Undang-Undang No. 35 Tahun 2009 tentang Narkotik kerana memiliki bahan terlarang, selain Pasal 131 akta sama kerana tidak melaporkan kesalahan berkaitan dadah.

Dia turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Pasal 609 ayat (1A) Kanun Keseksaan baharu Indonesia.

Kes tersebut kini masih dalam perbicaraan, sekali gus menamatkan sementara minat tertuduh dalam menyertai pertandingan penulisan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!