Pemandu cuai bakal berdepan hukuman lebih berat jika sebabkan kematian

Seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk dan bawah pengaruh dadah Ahad lalu. - Gambar kecil (Mohammed Hasbullah)
Seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk dan bawah pengaruh dadah Ahad lalu. - Gambar kecil (Mohammed Hasbullah)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas termasuk pertimbangan hukuman lebih berat akan diambil terhadap mana-mana individu yang memandu secara cuai atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian, khususnya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha berterusan memperkukuh penguatkuasaan serta memberi mesej jelas bahawa kecuaian di jalan raya tidak akan dikompromi.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap kes kemalangan maut yang berlaku dan tidak akan berkompromi dalam tindakan undang-undang.

Menurutnya, setiap kesalahan lalu lintas yang mengakibatkan kehilangan nyawa akan disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

"Tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak, tindakan tegas termasuk pertimbangan hukuman yang lebih berat akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

"Ini termasuk kes melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian susulan satu kemalangan maut yang berlaku pada 29 Mac lalu kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Raya Barat, Klang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua kenderaan lain.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan yang dipandu lelaki tempatan memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus.

Artikel Berkaitan:

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 32 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mohammed Hasbullah berkata, susulan kejadian itu, pemandu terlibat telah didakwa di Mahkamah Klang pada 1 April 2026.

"Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

"Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.

Beliau berkata, JSPT akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Katanya, semua pengguna jalan raya turut diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah.

"Setiap pengguna jalan raya perlu memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab bagi mengelakkan tragedi yang meragut nyawa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu cuai yang menyebabkan kematian, terutama di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
  • Kecuaian di jalan raya tidak akan dikompromi dan setiap kes kemalangan maut akan disiasat secara telus.
  • Satu kemalangan maut melibatkan motosikal dan dua kenderaan lain berlaku di Klang pada 29 Mac.
  • Pemandu terlibat didakwa di Mahkamah Klang dan berdepan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun.
  • JSPT akan mempergiatkan penguatkuasaan dan pengguna jalan raya diingatkan agar mematuhi peraturan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!