Covid-19: PUIM bantu rakyat terjejas 'mencari makan'

Mohd Azrul Mohd Nor
Mohd Azrul Mohd Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) dinasihatkan mengambil langkah proaktif dalam memastikan mereka masih boleh 'mencari makan' sepanjang tempoh berkenaan.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), Mohd Azrul Mohd Nor berkata, ketika negara sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berdagang dan berniaga secara dalam talian adalah satu kaedah paling sesuai untuk diceburi.

"Antara barangan boleh difokuskan pada peringkat awal ini contohnya sudah tentulah bahan-bahan mentah setempat, yang berdekatan dengan mereka. Jika tiada, mereka juga boleh menjadi ejen pemasaran.

"Selain itu, mereka juga boleh memfokuskan kepada barangan kesihatan seperti topeng muka, 'sanitizer' dan lain-lain yang berkaitan. Produk pakaian juga berpotensi mendapat sambutan pembeli. Pihak PUIM akan memberi penjelasan terperinci kepada mereka yang belum pernah menceburi perniagaan dalam talian ini menerusi latihan diadakan secara dalam talian terdekat ini," katanya hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Azrul menyarankan, rakyat Malaysia untuk mengikuti sesi latihan dan soal jawab atas talian di Facebook rasmi PUIM sebelum dapat memulakan perniagaan dan menjana pendapatan.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada individu yang belum pernah terlibat dalam perniagaan dalam talian supaya golongan tersebut dapat didedahkan dengan pengetahuan mengenai perniagaan jenis itu.

"Perkara ini penting kerana semasa tempoh perintah ini, rakyat tidak boleh bergerak jauh dan jika usahawan baru ini dapat menguasai ilmu perniagaan ini saya percaya mereka boleh mendapat keuntungan," katanya.

Selain itu, katanya, PUIM juga menganjurkan latihan lanjutan kepada pedagang dan peniaga dalam talian sedia ada agar mereka dapat meneruskan perniagaan menerusi kaedah terkini.

Artikel Berkaitan: