Baiki SOP pakaian wanita tahanan reman

Kisah tahanan reman seorang ustazah bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar di Kelantan wajar dijadikan rujukan untuk menilai semula tatacara pemakaian ke mahkamah.
Kisah tahanan reman seorang ustazah bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar di Kelantan wajar dijadikan rujukan untuk menilai semula tatacara pemakaian ke mahkamah.
A
A
A

KISAH tahanan reman seorang ustazah bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas wajar dijadikan rujukan untuk menilai semula tatacara pemakaian ke mahkamah.

Seperti kes lain yang melibatkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, aspek pemakaian individu yang ditahan untuk siasatan wajar diberi perhatian selaras dengan tuntutan syarak.

Pemakaian baju lokap adalah prosedur operasi standard (SOP), bagaimanapun penilaian kemanusiaan perlu ada, bukan kerana orang disiasat ustazah, sebaliknya menutup aurat kewajipan seseorang wanita yang beragama Islam.

Dalam beberapa kes reman lain, terdapat Orang Kena Tuduh (OKT) dibenarkan memakai pakaian lebih menutup aurat yang boleh menimbulkan tafsiran konsistensi dan keadilan prosedur tahanan.

Kerajaan wajar menyeragamkan semua SOP berkaitan penahanan wanita, sama ada di luar mahupun di mana-mana institusi mengekang kebebasan mereka, termasuk penjara dan lokap sementara siasatan.

Sejajar pandangan Pertubuhan Antarabangsa Gabungan Wanita untuk Institusi Keluarga dan Kualiti Pendidikan (WAFIQ), penyeragaman wajar dipertimbangkan segera bagi memastikan pemeliharaan aurat wanita terus terjamin.

NGO itu juga menggesa kerajaan menyemak semula garis panduan pakaian lokap bagi tahanan wanita Muslimah serta menyediakan pakaian lokap yang mematuhi keperluan menutup aurat secara sempurna.

Kesedaran kendiri perlu diperkukuh dengan meningkatkan tahap kepekaan pegawai terhadap keperluan agama serta maruah wanita.

Sebagai negara yang meletakkan Islam agama Persekutuan, perlu ditekankan hak menjaga aurat kewajipan agama dan bukan lagi pilihan kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Dalam mana-mana situasi sebegini, status tahanan tidak akan menggugurkan hak tersebut, dan tahanan wanita Muslimah tidak berada dalam keadaan darurat yang mengharuskan pendedahan aurat.

Isu ini bukan sekadar melibatkan individu tertentu, tetapi menyentuh prinsip lebih besar iaitu pemeliharaan maruah dan hak wanita Muslimah dalam apa jua keadaan. Justeru, wajar satu garis panduan lebih jelas dan seragam diwujudkan bagi menangani perkara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!