X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan RM42.5 juta tambah baik Skim Peduli Sihat

Sejumlah RM42.5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi menambah baik Skim Peduli Sihat yang mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM42.5 juta bagi menambah baik Skim Peduli Sihat yang menyasarkan kelompok isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan (B40) bagi mendapatkan rawatan kesihatan asas.

Menerusi skim yang diperkenalkan sejak Januari 2017 itu, kerajaan Selangor menawarkan RM500 setahun untuk satu keluarga dan RM200 untuk individu dengan had kegunaan RM70 setiap rawatan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi inisiatif dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua yang diumum Rabu lalu, 85,000 keluarga akan menerima pelbagai manfaat baharu melalui skim berkenaan termasuk perlindungan peribadi bernilai RM5,000, bantuan pengebumian bernilai RM1,000 dan perlindungan terhadap penyakit kritikal bernilai RM5,000.

“Pampasan kematian semula jadi bernilai RM2,000 turut ditawarkan dalam skim ini,” katanya.

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta khusus untuk menangani impak wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 dirangka berdasarkan dua cabaran utama iaitu bagaimana menggempur wabak tersebut daripada terus merebak serta menangani cabaran ekonomi dihadapi semasa dan juga pasca pandemik.

Antara inisiatif diumum dalam pakej fasa kedua itu adalah pelaksanaan saringan Covid-19 atau ‘mass test’ di kawasan panas atau zon merah dikenal pasti di negeri ini melibatkan sasaran seramai 5,000 orang dengan kos berjumlah RM1.35 juta.

Kerajaan Selangor turut memperuntukkan sebanyak RM1.344 juta bagi memberi bantuan makanan percuma kepada doktor, jururawat dan petugas hospital di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!