RM3.12 juta sumbangan Aidilfitri YAPEIM manfaat 29,000 penerima seluruh negara

Zulkifli bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim menyampaikan sumbangan RM3.1 juta pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.
Zulkifli bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim menyampaikan sumbangan RM3.1 juta pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM3.12 juta yang memberi manfaat kepada lebih 29,000 penerima di 112 lokasi seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk institusi kewangan dan syarikat korporat.

Beliau berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja tertumpu pada Ramadan, sebaliknya diteruskan sempena Aidilfitri bagi meringankan beban golongan memerlukan.

“Alhamdulillah, hari ini kita bersama warga YAPEIM melaksanakan majlis serahan sumbangan Aidilfitri yang berjumlah lebih kurang RM3.12 juta, memberi manfaat kepada lebih 29,000 penerima di 112 lokasi seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Zulkifli Hasan bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil penerima pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.
Zulkifli Hasan bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil penerima pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.

Menurut beliau, program itu turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat antaranya Hong Leong Islamic, Affin Islamic, McDonald’s, QSR Brands dan Nestlé.

Katanya, penglibatan sektor korporat membuktikan wujudnya kerjasama kukuh dalam menjayakan agenda kebajikan yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan YAPEIM menetapkan sasaran tabung infak lebih besar tahun ini dengan RM70 juta bagi program kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sasaran itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperluas capaian bantuan kepada lebih ramai penerima di seluruh negara.

“Tahun ini antara sasaran bagi aspek sosial dan kebajikan adalah sebanyak RM70 juta, merangkumi pembangunan ekonomi, masyarakat dan pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, jaringan luas YAPEIM melalui cawangan serta anak syarikat membolehkan pelaksanaan program kebajikan dilakukan secara menyeluruh.

Pada masa sama, YAPEIM turut memperluas peranannya dalam aspek tadbir urus dan integriti melalui pelancaran kempen ‘Keep Malaysia Clean’.

Beliau berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menjadikan YAPEIM sebagai antara agensi agama terawal memacu usaha berkenaan.

“Ini bermakna YAPEIM kini melangkah ke hadapan sebagai peneraju dalam isu tadbir urus dan integriti,” katanya.

Menurutnya, kempen itu bukan sahaja dilaksanakan dalam organisasi, malah akan diperluas kepada masyarakat melalui rangkaian YAPEIM di seluruh negara.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan usaha memperkukuh nilai integriti dalam kalangan masyarakat selain meningkatkan kepercayaan terhadap institusi berkaitan agama.

Zulkifli bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim melancarkan Kempen Keep Malaysia Clean pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.
Zulkifli bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim melancarkan Kempen Keep Malaysia Clean pada majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Ibu Pejabat YAPIEM pada Selasa.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mengajak rakyat Malaysia untuk memberi tumpuan kepada usaha solidariti terutama melibatkan misi kemanusiaan antarabangsa.

Katanya, sokongan dan doa rakyat amat penting bagi memastikan misi berkenaan berjalan lancar serta mencapai objektif ditetapkan.

“Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersolidariti dan mendoakan agar misi ini dipermudahkan serta berjaya,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan rakyat Malaysia dalam misi bersifat universal itu merupakan sesuatu yang membanggakan negara.

Jelasnya, pendekatan berteraskan kebajikan, integriti dan solidariti perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara secara berterusan.

Peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia), Ahad lalu.

Ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa yang bertekad memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.

Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!