FAMA Pahang terima 1,000 pesanan sehari sejak PKP fasa dua

Warga Kuantan mengambil kesempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti ikan, sayur dan buah segar di pusat jualan barangan segar terkawal di Pejabat FAMA Pahang bermula 18 Mac lalu.
Warga Kuantan mengambil kesempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti ikan, sayur dan buah segar di pusat jualan barangan segar terkawal di Pejabat FAMA Pahang bermula 18 Mac lalu.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menerima 1,000 pesanan barangan keperluan harian daripada pengguna melalui dalam talian bagi tempoh sehari sejak fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Razalli berkata, pesanan luar biasa diterima itu menyebabkan pihaknya menambah 10 lagi penghantar menggunakan motosikal dan pacuan empat roda.

Menurutnya, lebih ramai khidmat penghantaran terus ke rumah diperlukan bagi menampung permintaan pengguna di daerah itu yang meningkat secara mendakak.

"Saya dapati pengguna yang membuat pembelian secara dalam talian dan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp dikendalikan FAMA Pahang paling tinggi di seluruh negara. Saya difahamkan ibu pejabat FAMA di Putrajaya hanya menerima antara 400 hingga 500 pesanan sehari.

"Melihat pertambahan pesanan itu, saya rasa lebih baik jika kakitangan ditambah bagi tujuan penghantaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Jelasnya, pihaknya tidak mahu membiarkan pengguna terpaksa menunggu terlalu lama untuk pelanggan menerima barangan yang dipesan.

"Saya akui terdapat sesetengah barangan seperti sayur dan buah cepat rosak jika mengambil masa yang lama untuk dihantar," katanya.

Zainal Abidin berkata, FAMA Pahang juga perlu mengambil beberapa pekerja sambilan yang bertugas untuk membungkus sayur, buah dan barangan kawalan supaya aktiviti penghantaran dapat berjalan lancar dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai pusat jualan barangan segar terkawal yang dilaksanakan pihaknya, Zainal Abidin berkata, FAMA Pahang mampu menjalankan aktiviti jualan secara berkesan sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

"Saya lihat walaupun ramai yang datang, namun tidak berlaku banyak masalah. Semua garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti jarak sosial, pemeriksaan suhu badan dan menyediakan pencuci tangan dilakukan.

"Jadi, saya berharap masyarakat setempat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bekalan sayur dan buah segar terus dari ladang pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah," katanya.