391 individu ingkar PKP di Kelantan

Jalan raya berhadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, Kota Bharu lengang kerana PKP.
(Gambar kecil:Abdullah Mohammad Piah)
Jalan raya berhadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, Kota Bharu lengang kerana PKP. (Gambar kecil:Abdullah Mohammad Piah)
A
A
A

KOTA BHARU - Remaja 13 tahun antara 391 individu yang ditahan polis di negeri ini berikutan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh bermula 18 Mac lalu sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, daripada jumlah itu, 127 daripadanya ditahan pada PKP fasa kedua, manakala selebihnya ditahan pada fasa sebelumnya.

Menurutnya, penahanan tersebut melibatkan pelbagai peringkat umur dengan merekodkan seramai 16 remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun, 107 individu berusia 19 hingga 50 tahun dan empat individu berusia 51 hingga 60 tahun.

“Tangkapan dilakukan apabila mereka didapati tidak mengendahkan nasihat dan oleh anggota polis yang bertugas selain tidak memberikan kerjasama, mematuhi arahan pihak berkuasa serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan ini disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap PKP fasa kedua pada hari keenam hari ini meningkat satu peratus kepada 96 peratus berbanding 95 peratus dalam tempoh sama pada PKP terdahulu.

“Pematuhan ini termasuk di premis-premis dan pengguna jalan raya adalah baik kerana kita mahu memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

“Saya meminta semua rakyat agar dapat meningkatkan lagi usaha untuk sama-sama membantu kerajaan menangani wabak pandemik ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tahap pemeriksaan dan kawalan dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kelantan juga diperketatkan bagi memastikan rakyat terus mematuhi PKP sehingga 14 April ini.

Beliau berkata, sebanyak 36 SJR dilaksanakan di negeri ini dengan kekuatan 3,500 anggota terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

“Justeru, saya meminta kepada semua rakyat untuk terus berada di rumah dan yang hanya mereka yang betul-betul mempunyai urusan penting sahaja dibenarkan untuk melepasi SJR,” katanya.