Air teh o ganti 'susu' anak

Siti Hajar dan suami sanggup berlapar manakala kedua anaknya kini terpaksa diberi teh o menggantikan susu.
Siti Hajar dan suami sanggup berlapar manakala kedua anaknya kini terpaksa diberi teh o menggantikan susu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Hati saya luluh bila terpaksa beri anak kecil minum teh o gantikan susu yang kehabisan, demikian luahan hati seorang ibu kepada dua anak yang masing-masing berusia setahun dan dua tahun di Kampung Cabang Tiga, di sini.

Siti Hajar Musa, 26, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana itu adalah pilihan terbaik buatnya selepas hilang mata pencarian semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 20 hari lalu akibat penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

"Lebih menyedihkan lagi susu badan tidak keluar dan ia menyukarkan saya untuk menyusu kedua-dua anak yang masih kecil.

"Saya hanya mampu berdoa agar wabak Covid-19 segera tamat agar dapat keluar bekerja seperti biasa," katanya yang bekerja sebagai pembantu gerai jualan di pasar malam.

Menurutnya, suami, Mohamad Izlan Iskandar Mohd Nasir, 23, pula cacat penglihatan dan tidak bekerja hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Dia yang hanya bergaji RM25 setiap kali bekerja berkata, mereka kini terpaksa mengikat perut dan makan apa yang ada sahaja.

Siti Hajar berkata, adik-beradik ada membantu, tetapi mereka juga hidup dalam kesusahan serta hanya bekerja kampung.

"Setakat ini saya dan suami sanggup berlapar, tetapi bila memikirkan anak-anak yang masih kecil itu yang membuatkan kami sedih.

Artikel Berkaitan:

"Bukan niat kami untuk meraih simpati, tetapi ini yang sedang kami lalui sekarang sepanjang PKP dilaksanakan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN Siti Hajar ( 0301641000028674).

Terdahulu, kisah keluarga ini tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp mengenai kesempitan hidup yang dialami oleh mereka.