Harga bekalan makanan stabil

Pengguna mengambil peluang membeli sayur-sayuran di pasar yang beroperasi sehingga jam 2 petang.
Pengguna mengambil peluang membeli sayur-sayuran di pasar yang beroperasi sehingga jam 2 petang.
A
A
A

KOTA BHARU - Harga bekalan barangan makanan mentah di beberapa pasar utama di negeri ini masih berada pada tahap stabil dan terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari kelima fasa kedua pelaksanaannya hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini mendapati jumlah bekalan makanan mentah seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran juga mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

Bagaimanapun, beberapa jenis sayur-sayuran didapati mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 seperti timun yang dijual daripada harga RM3 ke RM4, tomato daripada RM3 ke RM5, sawi daripada RM4 ke RM5 dan bawang besar daripada RM4 ke RM5.

Seorang peniaga sayur, Siti Nuraini Mohd Yaman, 45, berkata, kenaikan harga berlaku berikutan peniaga sukar mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada pembekal susulan PKP yang sedang berkuat kuasa bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

Siti Nurani Mohd Yaman
Siti Nurani Mohd Yaman

“Kalau sebelum ini ada bekalan sayuran dari negara jiran tetapi oleh sebab PKP ketika ini, sayuran hanya didapati daripada pembekal tempatan.

“Bekalan itu ada tetapi perjalanan itu terhad untuk mendapatkan bekalan menyebabkan sayuran seperti tomato dan sawi naik harga,” katanya ketika ditemui di pasar berkenaan hari ini.

Bagaimanapun katanya, dia tetap mengekalkan harga kubis RM3 sekilogram kepada pengguna walaupun harga diterima daripada pembekal meningkat iaitu daripada RM25 bagi 25 kilogram (kg) sebelum ini kepada RM34.

Artikel Berkaitan:

Sayuran seperti tomato mengalami kenaikan harga berbanding sebelum ini.
Sayuran seperti tomato mengalami kenaikan harga berbanding sebelum ini.

“Walaupun dengan harga yang sama, saya masih lagi dapat untung kerana pelanggan yang ramai datang membeli dan kesian juga apabila memikirkan keadaan pengguna ketika ini yang kurang pendapatan akibat wabak yang menular," katanya.

Menurutnya, jumlah pembeli juga turut meningkat dua kali ganda berikutan lebih ramai menghabiskan waktu makan di rumah sepanjang tempoh PKP.

Harga ayam dikatakan paling murah ketika ini kerana bekalan tidak pernah putus.
Harga ayam dikatakan paling murah ketika ini kerana bekalan tidak pernah putus.



Pelbagai jenis ikan boleh didapati di Pasar Siti Khadijah walaupun ketika tempoh PKP berkuat kuasa.
Pelbagai jenis ikan boleh didapati di Pasar Siti Khadijah walaupun ketika tempoh PKP berkuat kuasa.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Sarimah Dollah, 51, berkata, sepanjang 30 tahun berniaga ayam, harga bahan mentah begitu murah ketika ini berikutan bekalan tidak putus.

Dia tidak menolak, kemungkinan bekalan ayam tersebut adalah daripada stok kenduri kahwin penduduk yang terpaksa ditangguhkan akibat PKP bagi mengelak penularan Covid-19.

“Bekalan ayam diperoleh daripada pembekal tempatan dan harga ayam standard dijual antara RM3.90 hingga RM6 sekilogram malah ada peniaga yang menjual lebih rendah daripada itu.” katanya.