Anggap PKP tempoh undang rezeki

Muhammad Aizat Zharif menyampaikan sumbangan makanan oleh pelanggannya kepada kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Muhammad Aizat Zharif menyampaikan sumbangan makanan oleh pelanggannya kepada kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menganggap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hari ini bukan menutup rezeki, malah sebenarnya memberi peluang kepada rakyat mencari pendapatan tambahan.

Disebabkan itulah anak kelahiran dari Kuala Terengganu, Muhammad Aizat Zharif Mohd Nazri, 27, mengambil peluang menjalankan perniagaan menjual makanan dalam talian dan dihantar terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.

Jurutera di sebuah syarikat perkapalan itu berkata, dia sebelum ini merancang untuk membuka kedai makan bersama-sama ibu saudara dan adik perempuannya yang akan diberi nama 'warung Tok Pelam' di Kampung Ladang Tok Pelam di sini.

Muhammad Aizat Zharif, seorang jurutera di sebuah syarikat perkapalan yang memilih menjadi peniaga atas talian dan menghantar tempahan ke depan pintu rumah pelanggan sepanjang tempoh PKP.
Muhammad Aizat Zharif, seorang jurutera di sebuah syarikat perkapalan yang memilih menjadi peniaga atas talian dan menghantar tempahan ke depan pintu rumah pelanggan sepanjang tempoh PKP.

"Tetapi perancangan kami tidak kesampaian kerana kebetulan pula kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP ini. Jadi, disebabkan masih ingin teruskan hajat itu, saya mengambil keputusan bergerak secara dalam talian dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke depan pintu rumah pelanggan.

"Meskipun saya memang langsung tiada pengalaman dalam bidang perniagaan, tetapi saya memberanikan diri mencuba dan dalam masa sama, saya belajar dengan seorang kawan yang memang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang ini.

"Dia yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya bagaimana cara hendak menarik dan melayan pelanggan supaya berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, kebanyakan pelanggannya di sekitar Kuala Terengganu yang akan memesan makanan diiklankan menerusi laman sosial miliknya terutama Instagram, Facebook dan WhatsApp.

"Sambutan pelanggan setakat ini amat menggalakkan walaupun saya masih lagi baru dalam industri ini tetapi pelanggan sudah mula mengenali menu masakan kami dan Alhamdulillah biasanya sehari kami menerima secara purata 60 bungkus tempahan.

Muhammad Aizat Zharif menyerahkan tempahan kepada salah seorang pelanggannya.
Muhammad Aizat Zharif menyerahkan tempahan kepada salah seorang pelanggannya.

"Penghantaran makanan ke rumah pelanggan pula akan dilakukan oleh saya sendiri dan biasanya akan dibuat pada sebelah pagi iaitu jam 10 hingga 11.30 dan sebelah petang jam 6 hingga 7 petang tetapi sejak PKP mula diperketatkan, kebanyakan pelanggan akan meminta pesanan mereka dihantar awal.

"Saya cuba memenuhi permintaan pelanggan kerana menganggap pelaksanaan PKP dalam mengekang penularan wabak Koronovirus (Covid-19) ini sebagai satu inisiatif untuk saya melakukan penghantaran makanan kepada mereka yang mengalami kesukaran keluar rumah," katanya.

Jelasnya lagi, bagaimanapun diakui sejak PKP diperketatkan, dia berdepan sedikit masalah untuk mendapatkan barang-barang atau bahan-bahan keperluan untuk memasak selain kawalan pergerakannya yang sedikit terhad berbanding keadaan normal.

"Tetapi itu semua bukannya alasan untuk saya tidak menjalankan perniagaan ini," katanya.