'Kita tak tahu nasib kita nanti'

Zamri bersama lelaki tersebut di bengkelnya.
Zamri bersama lelaki tersebut di bengkelnya.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Seorang pemilik bengkel yang membantu seorang pemuda mengalami kerosakan motosikal tidak menyangka tindakan murninya itu mendapat perhatian ramai.

Mohd Zamri Hashim, 47, atau lebih mesra dipanggil Zamri berkata, dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan setelah membaca status Facebook Penang Kini yang memberitahu terdapat seorang pemuda terkandas di jambatan Pulau Pinang 1, gara-gara motosikal rosak.

"Saya mendapat tahu kisah ini melalui Facebook Penang Kini, jadi saya hubungi budak 'runner' untuk hulurkan bantuan dan bawa motosikal ke kedai saya," katanya kepada Sinar Harian.

Zamri yang mengusahakan bengkel ZN Motorsport sejak 2003 itu memberitahu, jarak antara lokasi pemuda itu hanya tiga kilometer dari bengkelnya.

"Saya difahamkan lelaki itu menunggang motosikal dari Bukit Beruntung, Selangor, datang ke sini untuk ziarah tunangnya, namun sebaik tiba di hospital, doktor maklumkan tunang telah meninggal dunia.

Setelah motosikal dibaiki, lelaki itu pulang ke Bukit Beruntung.
Setelah motosikal dibaiki, lelaki itu pulang ke Bukit Beruntung.

"Waktu itu dia bersama pakciknya mengiringi ambulans untuk membawa jenazah tunang pulang ke rumah, namun sebaik tiba di jambatan Pulau Pinang 1, motosikalnya rosak dan pakciknya meneruskan perjalanan menaiki ambulans," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka bantuannya itu mendapat perhatian netizen dan tular di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang tak sangka, apa yang saya tahu, dalam waktu begini, kita kena bantu sahabat kita dalam kesusahan, dia datang dari jauh.

"Kita tak tahu nasib kita nanti, moga ALLAH merahmati lelaki itu dan selamat sampai ke tempat yang dituju." katanya.

Dalam pada itu, keikhlasan Zamri juga menarik perhatian ramai apabila tidak mengambil sebarang wang setelah membaiki kerosakan motosikal lelaki itu.

Difahamkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bengkelnya dibuka jam 9 pagi hingga 2 petang dan kejadian itu berlaku pada jam 12 tengah hari.