Tiada bangunan sekolah, 157 murid belajar bawah khemah, kaki lima masjid

KOTA KINABALU - Belajar dalam suasana panas di bawah khemah, malah hampir basah terkena tempias hujan ketika sesi pembelajaran berlangsung.
Itu antara keadaan daif yang terpaksa dihadapi kira-kira 157 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, yang sehingga kini masih belum mempunyai bangunan sekolah sendiri.
Dalam keadaan serba kekurangan, murid-murid berkenaan terpaksa meneruskan pembelajaran harian di kaki lima sebuah masjid, selain berlindung di bawah khemah tanpa dinding, sekali gus terdedah kepada faktor cuaca yang tidak menentu.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah memberi cabaran kepada proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya apabila hujan atau cuaca terlalu panas.
Perkara itu didedahkan bekas pegawai pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, selepas menerima aduan daripada ibu bapa murid.
"Ibu bapa memaklumkan, anak-anak ini terpaksa belajar di penempatan sementara di masjid, ada yang belajar di kaki lima sehingga terdedah kepada tempias hujan, manakala dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, mereka hanya berlindung di bawah khemah.
"Menitis air mata saya melihat keadaan anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan sedemikian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau turut mempersoalkan perkembangan proses pembinaan bangunan sekolah berkenaan yang dilihat masih belum menunjukkan kemajuan ketara walaupun keperluannya amat mendesak.
"Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan peruntukan sekitar RM2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah kekal. Namun begitu, proses pembinaan termasuk urusan tender dijangka mengambil masa beberapa bulan dan mungkin setahun untuk disiapkan.
"Wahai menteri, wahai pegawai, bayangkan jika anak anda perlu belajar dalam keadaan sedemikian, apa perasaan anda? Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlarutan. Sampai bila kita mahu membiarkan anak-anak kita belajar dalam keadaan sebegini? Adakah anak-anak ini perlu terus menunggu dalam keadaan serba kekurangan? Sampai bila anak-anak kita di Wilayah Sabah perlu menghadapi keadaan seperti ini," soalnya.
Sehubungan itu, beliau meminta agar KPM atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dapat mengambil langkah segera dengan menyediakan bilik darjah jenis kabin sebagai penyelesaian sementara.
"Ini amat penting bagi memastikan anak-anak dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif sementara menunggu bangunan kekal siap.
"Saya ingin merayu kepada menteri serta pegawai-pegawai kanan berkaitan agar turun padang melihat sendiri keadaan sebenar.
"Jika hak 40 peratus cukai bersih dapat diberikan kepada Sabah lebih awal maka keadaan seperti ini sudah pasti tidak akan berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
