Rahadiazli tidak sabar kembali ke padang

Rahadiazli Rahalim - Foto Terengganu Football Club
Rahadiazli Rahalim - Foto Terengganu Football Club
A
A
A

PENJAGA gol meningkat naik dari Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim, mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Super selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 14 April ini.

Muhammad Rahadiazli berkata, kecederaan bahu yang dialami ketika perlawanan menentang Kedah bulan lalu hampir pulih sepenuhnya dan kini sudah bersedia untuk kembali menjaga gawang skuad Penyu.

Penjaga gol berusia 19 tahun yang berasal dari Setiu itu berkata, tempoh PKP yang panjang itu digunakan sebaiknya untuk merawat kecederaan serta melakukan rutin latihan demi mengekalkan momentum dan kecergasannya.

"Saya meluangkan masa kira-kira sejam sehari untuk berlatih bagi mengekalkan kecergasan dan momentum apabila liga disambung semula bila-bila masa nanti.

"Antara rutin harian yang dilakukan adalah latihan balingan bola ke dinding untuk memperkemas teknik tangkapan, senaman bangkit tubi dan teknik lompatan bagi meningkatkan kebolehan menangkap serta menepis bola di udara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemain tinggi lampai yang mengidolakan penjaga gol Manchester United, David de Gea dan penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid berkata, beliau akan berusaha gigih demi mencapai impian untuk beraksi sebagai penjaga gol kebangsaan suatu hari nanti. - Bernama

Artikel Berkaitan: