Buntong masih aman - Polis

Laporan Sinar Harian mengenai lelaki maut ditetak parang dalam pergaduhan di Buntong. Gambar kecil: Noor Hisam
Laporan Sinar Harian mengenai lelaki maut ditetak parang dalam pergaduhan di Buntong. Gambar kecil: Noor Hisam
A
A
A

IPOH - Orang ramai diminta tidak membuat tanggapan melulu dengan menyamakan kawasan Buntong seperti Klang susulan insiden pergaduhan yang membawa kepada kes bunuh di kawasan berkenaan, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keadaan keselamatan di Buntong serta kawasan-kawasan lain di seluruh negeri masih terkawal dan selamat.

Menurutnya, insiden tersebut hanyalah berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak melibatkan ancaman lebih besar kepada keselamatan awam.

“Sebenarnya kita tidak mahu disamakan dengan Klang. Keadaan belum sampai ke tahap itu. Ini hanya perselisihan faham antara dua kumpulan sahaja.

“Buntong, Ipoh dan Perak masih aman dan selamat. Ia tidak ada kaitan dengan perkara yang lebih serius,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kes jenayah di Buntong sehingga melabelkan kawasan berkenaan 'bandar Klang'.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, setakat ini polis telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes tersebut dengan tiga tangkapan terbaharu dibuat pada pagi Khamis di kawasan Menglembu.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun. Ada yang berasal dari Ipoh, Sungai Siput dan Bagan Serai,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati mangsa berada di sebuah premis kereta sewa bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang menyerang menggunakan parang.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh.

Terdahulu, Noor Hisam mengesahkan insiden pergaduhan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya konflik antara kumpulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!